Kemalangan bas di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.
Sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.
Kemalangan ngeri itu menyebabkan seramai 15 orang mangsa disahkan maut selepas bas tersebut terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada Hospital Gerik pada jam 1.10 pagi tadi.
“Sampai di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas terbalik dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza,” menurut kenyataan itu.
PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan keseluruhan 48 mangsa yang terbabit, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa tercedera.
Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tajung Malim, Perak.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon dalam kenyataan berasingan berkata bas dan kereta jenis Perodua Alza itu dalam laluan yang sama iaitu dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Gerik.
Beliau turut mengesahkan kemalangan melibatkan mangsa seramai 48 orang dalam kemalangan yang menyebabkan bas terbalik dan kereta terbabas ke dalam parit. itu.
“Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.
“Ketua Operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas, untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas pemotong hidraulik,” katanya.
Sayani berkata, apabila ruang kerja berjaya dilakukan didapati terdapat enam mangsa yang masih berada di dalam bas.
Sayani berkata, tindakan penyelamatan seterusnya dilakukan oleh bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa mereka keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Mangsa-mangsa yang cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri sudah diberi rawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi. Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), ambulans KKM dan APM,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin ketika dihubungi berkata, kebanyakan penumpang bas adalah pelajar UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti perayaan Aidiladha.
“Semua mereka berkumpul di Jerteh dan menyewa bas sendiri untuk pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas pulang beraya di kampung halaman masing-masing,” katanya.
Rizab BNM cecah AS$126.9 bilion
Pelan baharu tangani kos sara hidup dilancar tahun ini: Armizan
Pelabur asing terus beli saham tempatan, aliran masuk cecah RM15 juta
Adam pertahan sekatan perjalanan peminjam PTPTN
Ringgit kekal stabil sekitar paras RM3.94 berbanding dolar: Bernama
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen