Tun Dr Mahathir Mohamad.
Orang ramai diminta memberi ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melalui tempoh dukacita selepas kehilangan isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Anaknya, Mukhriz Mahathir berkata, kehilangan teman hidup yang bersama bapanya selama lebih 70 tahun bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.
Menurutnya, Dr Mahathir memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehilangan besar itu tanpa tekanan daripada pihak luar.
Mukhriz berkata, buat sementara waktu, adalah lebih baik bapanya berada di Institut Jantung Negara (IJN) berbanding pulang ke kediaman keluarga yang penuh dengan kenangan bersama Allahyarhamah.
“Kalau duduk di rumah pun, setiap benda yang beliau pandang akan mengingatkan beliau kepada arwah bonda. Jadi mungkin lebih baik beliau berada di IJN dahulu sehingga betul-betul pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Allahyarhamah Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, malam tadi.
Mengulas perkembangan terkini bapanya, Mukhriz berkata Dr Mahathir turut berkesempatan menziarahi pusara isterinya hari ini, yang disifatkannya sebagai perkembangan positif.
Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak tidak terlalu mendesak Dr Mahathir untuk menceritakan keadaan emosi atau perasaannya ketika ini.
“Bayangkan jika kita sendiri berada dalam situasi yang sama. Sudah tentu kita juga akan merasai kehilangan yang amat besar. Jadi berilah beliau sedikit ruang dan masa untuk pulih dengan sendiri,” katanya.
Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di IJN pada 28 September lalu.
Allahyarhamah mendirikan rumah tangga dengan Dr Mahathir selama lebih tujuh dekad dan menjadi pendamping beliau sepanjang perjalanan kehidupan serta kerjaya politiknya.
Pemergian Siti Hasmah turut menerima ucapan takziah daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik dan masyarakat yang mengenali sumbangan beliau dalam bidang perubatan, kebajikan dan kemasyarakatan.
Belanjawan 2027: Mahasiswa, IPT diberi perhatian khusus kerajaan
Dua beradik tokoh korporat direman SPRM, kereta dan motosikal mewah disita
Video KLIA tular: Shuhaily tampil beri penjelasan
UiTM Holdings ada kelompongan tatakelola: SPRM
KPM hentikan program penceramah bebas susulan dakwaan tular
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum