Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China sempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC.
Malaysia akan terus memperluas hubungan perdagangan, menarik pelaburan asing dan mengekalkan hubungan baik dengan semua negara bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh serta membuka lebih banyak peluang kepada sektor perniagaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan berkecuali yang diamalkan Malaysia membolehkan negara menjalinkan hubungan erat dengan semua pihak, termasuk kuasa besar dunia tanpa terikat kepada mana-mana blok geopolitik.
Beliau berkata, hubungan baik dengan negara seperti China dan Amerika Syarikat penting dalam mewujudkan persekitaran yang stabil serta kondusif untuk perdagangan dan pelaburan.
“Dasar kami ialah berkecuali. Mereka sering bertanya kepada saya mengapa Malaysia mempunyai hubungan istimewa yang begitu baik dengan Presiden Xi Jinping dan China.
“Saya katakan, inilah yang dimaksudkan dengan kepusatan. Kita berbaik dengan semua pihak,” katanya ketika berucap pada Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China sempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC, hari ini.
Anwar turut berkongsi siri pertemuan diplomatiknya dengan pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Presiden China, Xi Jinping; dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Beliau berkata, dalam tempoh kurang dua hari, beliau turut mengadakan pertemuan dengan kesemua 11 pemimpin ASEAN, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.
Menurutnya, kestabilan politik, dasar kerajaan yang jelas serta insentif pelaburan menarik menjadi faktor penting dalam meyakinkan pelabur untuk memilih Malaysia sebagai destinasi perniagaan.
“Kestabilan politik dan dasar yang jelas, serta insentif yang baik untuk menarik perniagaan, merupakan prasyarat bagi pelaburan perniagaan,” katanya.
Dialog berkenaan menghimpunkan wakil daripada 23 syarikat utama China bagi meneroka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Antara sektor yang menjadi tumpuan ialah tenaga baharu, bahan bateri, teknologi digital, peranti pintar, teknologi perubatan, pembuatan termaju, automasi, perkhidmatan kewangan dan logistik.
Beberapa syarikat China turut menyatakan minat mendapatkan bekalan produk dan bahan dari Malaysia, termasuk bahan kimia khusus, polimer, produk berasaskan sawit serta perkhidmatan digital.
Anwar berkata, kerjasama itu berpotensi memperluas pasaran eksport Malaysia dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam rantaian bekalan antarabangsa.
Usaha berkenaan juga dilihat penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serantau ketika persaingan ekonomi global semakin mencabar.
Turut hadir pada dialog itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani serta Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Zafrul Abdul Aziz. – Bernama
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan