Bank Negara Malaysia.
Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026 meskipun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) kembali melonggarkan dasar monetarinya.
Fed pada mesyuarat yang berakhir 10 Disember 2025 sekali lagi menurunkan kadar pinjaman utamanya sebanyak 25 mata asas kepada julat 3.50–3.75 peratus, iaitu pengurangan ketiga tahun itu selepas langkah sama pada September dan Oktober.
Apex Securities Bhd berkata penurunan kadar oleh Fed tidak memberikan tekanan besar kepada dasar BNM, sebaliknya Malaysia dijangka mengekalkan dasar yang akomodatif bagi menyokong permintaan domestik dan sentimen luaran yang semakin stabil.
“Kami menjangka OPR kekal pada 2.75 peratus sepanjang 2026. Penurunan hasil Perbendaharaan AS akibat pengurangan kadar Fed juga boleh menyokong ringgit,” katanya.
Firma itu menambah bahawa ringgit berpotensi mengukuh jika perdagangan global pulih lebih baik daripada jangkaan.
“Kadar dolar AS-ringgit boleh mencecah sekitar 4.05 hingga 4.10 pada 2026,” katanya.
Hong Leong Investment Bank Bhd turut berkongsi pandangan sama.
“Pendirian dasar semasa dilihat sesuai dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dengan keadaan harga yang stabil,” menurut bank itu dalam satu nota.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan pasaran kini sudah mula mengambil kira kemungkinan dua lagi pemotongan kadar oleh Fed pada April dan September 2026.
“Data akan datang dijangka menyokong dua lagi penurunan. Buat masa ini Fed tidak melihat keperluan mendesak untuk terus melonggarkan dasar, tetapi angka pengangguran dalam minggu-minggu terdekat boleh mengubah pertimbangan mereka,” katanya.
Menurut Kenanga IB, risiko inflasi semula juga semakin reda.
“Inflasi tidak dijangka meningkat semula, terutama apabila impak tarif masuk ke dalam harga jauh lebih perlahan dan rendah daripada kebimbangan awal,” katanya.
Firma itu turut menjelaskan jangkaan awal mereka mengenai pemotongan kadar pada Januari mungkin tidak lagi tepat.
“Fed kini mempunyai ruang untuk menunggu. Tindakan lebih realistik mungkin berlaku pada Mac apabila data lebih jelas. Penurunan kedua mungkin pada Jun, ketika itu Jerome Powell akan diganti pengerusi baharu,” katanya.
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Projek Kampung Angkat MADANI perkasa kemudahan dua kampung di Kuala Pilah: Fahmi
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum