Bursa Malaysia.
Bursa Malaysia mencatatkan prestasi tinggi pada awal dagangan Isnin, menjejaki kenaikan Wall Street pada minggu lalu apabila sentimen pelabur yang bertambah baik mendorong peningkatan minat belian.
Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.99 mata atau 0.06 peratus kepada 1,687.53 daripada 1,686.54 ketika ditutup pada Jumaat lalu, selepas dibuka 0.53 mata lebih tinggi kepada 1,687.07.
Prestasi keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 210 berbanding 80, manakala 330 kaunter tidak berubah. Sebanyak 2,030 kaunter tidak diniagakan dan 55 kaunter digantung. Jumlah dagangan mencecah 121.35 juta saham bernilai RM57.16 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen di Wall Street disokong oleh data buruh Amerika Syarikat yang memberangsangkan, menunjukkan kadar pengangguran menurun kepada 4.4 peratus berbanding 4.6 peratus sebelum ini.
Di peringkat domestik, beliau menjangkakan indeks penanda aras diniagakan dalam julat 1,680 hingga 1,695 hari ini selepas melonjak melepasi paras 1,680 minggu lalu susulan minat belian kukuh pada minit-minit terakhir dagangan.
Beliau berkata tanda-tanda pembelian oleh pelabur asing mula kelihatan pada Jumaat lalu dan jika aliran itu berterusan, ia berpotensi mendorong indeks melepasi paras 1,700 dalam tempoh terdekat.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM10.86 dan RM8.53, manakala Public Bank susut dua sen kepada RM4.56. CIMB meningkat satu sen kepada RM8.16 dan Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM13.58.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI naik 1.5 sen kepada 84.5 sen, VS Industry meningkat setengah sen kepada 49.5 sen, manakala TWL, MMAG dan Dagang Nexchange masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, 6.5 sen dan 35 sen.
Dalam senarai saham paling untung, Malaysian Pacific dan Hong Leong Bank masing-masing melonjak 22 sen kepada RM33.52 dan RM23.28. United Plantation, Hong Leong Financial Group dan Tradeplus Shariah Gold masing-masing meningkat 14 sen kepada RM33.46, RM19.88 dan RM5.71.
Bagi saham paling rugi, MISC merosot 10 sen kepada RM7.70, Hong Leong Industries dan Edaran masing-masing susut enam sen kepada RM16.58 dan RM1.13, manakala Vstecs turun lima sen kepada RM3.95 dan Vitrox menguncup tiga sen kepada RM4.66.
Sementara itu, dagangan saham IJM Corporation Bhd dan Sunway Bhd digantung atas permintaan syarikat masing-masing berkuat kuasa jam 9 pagi hari ini sementara menunggu pengumuman. Dagangan waran berstruktur berkaitan Sunway dan IJM turut digantung, menurut kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia.
Dalam pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 16.48 mata kepada 12,480.99, Indeks FBM Top 100 naik 14.60 mata kepada 12,266.85 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 27.74 mata kepada 12,275.65. Indeks FBM Mid 70 meningkat 54.03 mata kepada 17,503.28 manakala Indeks FBM ACE naik 18.90 mata kepada 5,020.39.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 18.61 mata kepada 20,061.56, Indeks Tenaga naik 3.40 mata kepada 748.62, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.73 mata kepada 174.06, manakala Indeks Perladangan meningkat 17.20 mata kepada 8,507.78. – Bernama
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
226 pegawai SPRM dikenakan tindakan tatatertib sejak 2021
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar