Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlangungan Sempadan Malaysia (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Dua anggota polis yang didakwa menjadi mangsa kekasaran dalam insiden tular di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu memfailkan saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Sepang pada 4 November lalu menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates dengan menamakan Mohd Shuhaily sebagai defendan tunggal.
Peguam yang mewakili kedua-dua anggota polis berkenaan, Kamal Hisham Ja’afar berkata, tindakan undang-undang itu diambil susulan pertuduhan jenayah terhadap Mohd Shuhaily mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada 21 Oktober lalu.
Menurutnya, saman berkenaan mengemukakan empat kausa tindakan iaitu penahanan salah, serangan, bateri dan fitnah.
“Hal ini adalah dengan mengambil kira kejadian kekasaran tersebut adalah semata-mata suatu perbuatan Mohd Shuhaily atas kapasiti dirinya sendiri tanpa melibatkan pihak Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin.
Kedua-dua plaintif turut menegaskan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas pendirian tegas dalam memastikan semua pihak tertakluk kepada undang-undang sedia ada.
Mereka juga berpandangan tindakan saman sivil itu merupakan saluran yang tepat untuk mendapatkan keadilan berhubung insiden berkenaan.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah selepas didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di kaunter Terminal 1 KLIA.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.30 tengah hari pada 28 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Insiden berkenaan sebelum ini mencetuskan perhatian awam selepas rakaman video kejadian tersebar di media sosial, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tindakan terhadap pegawai penguat kuasa dan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.
Pemfailan saman sivil itu membuka satu lagi ruang perundangan kepada kedua-dua anggota polis terbabit untuk menuntut ganti rugi atas dakwaan perbuatan yang berlaku.
MCMC uji internet di 16 stesen ECRL, liputan terowong turut dipantau
Anwar: Kestabilan politik yakinkan Google labur RM61 bilion
Daiso labur RM1.2 bilion, bina hab pengedaran terbesar dunia di Malaysia: PMX
Kenderaan rosak akibat RON95, Petron dan Caltex tawar pampasan: Armizan
NUJ mahu hak pekerja Utusan, Kosmo! dilindungi
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum