DNAA Zahid: AG kemuka rayuan cabar permohonan Majlis Peguam

June 6, 2026 · Isu semasa

Peguam Negara (AG) Mohd Dusuki Mokhtar, memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Majlis Peguam meneruskan cabaran undang-undang terhadap keputusan menghentikan prosiding kes rasuah melibatkan Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akalbudi.

Dalam notis usul yang difailkan baru-baru ini, Mohd Dusuki mengemukakan dua persoalan utama untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Antaranya ialah sama ada keputusan AG untuk memulakan atau menghentikan sesuatu pendakwaan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Beliau juga meminta mahkamah menentukan sama ada ujian dua peringkat yang digariskan dalam kes Sundra Rajoo Nadarajah lwn Menteri Luar Negeri Malaysia boleh dianggap sebagai prinsip undang-undang yang mengikat dan wajib dipatuhi oleh mahkamah bawahan.

“Jika keputusan itu boleh dicabar, apakah prasyarat atau ujian undang-undang yang perlu dipenuhi sebelum prosiding semakan kehakiman dibenarkan,” menurut permohonan yang difailkan.

Pada masa sama, Mohd Dusuki turut memohon supaya semua prosiding di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu keputusan terhadap permohonan kebenaran merayu tersebut.

Ahmad Zahid yang dinamakan sebagai responden kedua dalam prosiding semakan kehakiman itu turut memfailkan permohonan berasingan untuk mendapatkan kebenaran merayu pada 25 Mei lalu.

Beliau mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonannya mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Majlis Peguam untuk mencabar keputusan AG pada 4 September 2023 yang menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Mahkamah berpendapat permohonan itu tidak bersifat remeh atau menyusahkan, sebaliknya membangkitkan isu undang-undang yang wajar diputuskan melalui perbicaraan penuh.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 27 Jun 2024 yang sebelum ini menolak permohonan Majlis Peguam untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan gagal memenuhi syarat yang diperlukan.

Kes berkenaan berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 2023 yang melepaskan Ahmad Zahid tanpa membebaskannya (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding sementara bagi membolehkan penelitian terhadap bukti baharu dilakukan.

Susulan itu, Majlis Peguam memfailkan tindakan bagi mencabar keputusan tersebut dan memohon deklarasi bahawa perintah DNAA yang diberikan oleh hakim perbicaraan ketika itu adalah tidak sah dan terbatal.

Perkembangan terbaharu ini dijangka menjadi penentu penting terhadap skop kuasa budi bicara Peguam Negara dalam institusi pendakwaan negara.

Berita berkaitan
AGC teliti dua kertas siasatan libatkan Azam Baki
June 6, 2026· Isu semasa
AMK persoal sejauh mana komitmen UMNO bersama Kerajaan Perpaduan
June 6, 2026· Politik
RM50 juta disalur perkasa TVET 2.0: Anwar
June 6, 2026· Isu semasa
Rundingan kerjasama BN-PH di Negeri Sembilan masih terbuka: Zahid
June 5, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
MCMC arah tindakan segera baiki liputan telekomunikasi di Kampung Tinagat
11 jam lalu · Isu semasa
PMX akan kongsi visi Malaysia hadapi ketidaktentuan global semasa Forum Nikkei di Tokyo
13 jam lalu · Isu semasa
Sebar video intim bekas suami, wanita menangis selepas didenda RM2,800
14 jam lalu · Isu semasa
MCMC perketat pemantauan judi dalam talian menjelang Piala Dunia
14 jam lalu · Isu semasa
SPRM bongkar syarikat proksi dalam skandal rasuah, aset RM186.6 juta dibeku: Laporan
15 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok