Kedudukan ekonomi negara.
Ekonomi Malaysia berpotensi berkembang purata 5.7 peratus pada 2026, mengatasi unjuran rasmi, didorong prestasi sektor pembuatan, pembinaan dan peningkatan pelaburan.
Dua ahli ekonomi, pengasas Asia Strategic Consulting, Profesor Paolo Casadio dan pengasas Williams Business Consultancy, Profesor Geoffrey Williams, turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi boleh mencecah 5.9 peratus pada suku keempat tahun ini.
Dalam rencana bersama, mereka berkata unjuran itu berdasarkan sistem anggaran semasa berfrekuensi tinggi yang meneliti data terkini termasuk penggunaan elektrik kilang serta aliran modal bagi mengukur momentum aktiviti ekonomi.
Angka 5.7 peratus itu lebih tinggi berbanding unjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebanyak 4.7 peratus, Bank Pembangunan Asia (ADB) pada 4.9 peratus serta unjuran rasmi kerajaan antara empat hingga lima peratus.
Dari sudut penawaran, sektor pembuatan dijangka berkembang **8.5 peratus**, pembinaan 9.2 peratus manakala perkhidmatan moden seperti kewangan, logistik dan teknologi berkembang 6.5 peratus.
Menurut mereka, pertumbuhan pembuatan banyak dipacu segmen pembungkusan dan pengujian cip kecerdasan buatan (AI) di Pulau Pinang, manakala sektor pembinaan mendapat manfaat daripada pembangunan pusat data di koridor Johor-Singapura.
Bagi aspek permintaan pula, pelaburan dijangka meningkat hampir 10 peratus dan menyumbang lebih 2.1 mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Perbelanjaan pengguna pula diunjurkan berkembang 4.8 peratus dengan sumbangan 2.6 mata peratusan, manakala perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih masing-masing menyumbang 0.4 dan 0.5 mata peratusan.
Casadio dan Williams turut berpandangan ukuran ekonomi tradisional mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan nilai yang dijana aktiviti teknologi berintensif tinggi.
“Apabila sebuah fasiliti di Pulau Pinang memasang 1,000 alat pemecut AI canggih berbanding jumlah sama pemproses asas telefon pintar, jumlah eksport fizikal hampir tidak berubah.
“Berat kontena penghantaran tetap sama dan statistik pelabuhan juga kelihatan serupa, namun nilai ekonomi meningkat sehingga 10 kali ganda,” kata mereka.
Mereka berkata sistem anggaran digunakan turut meneliti penggunaan elektrik di bilik bersih serta harga premium produk canggih. Bagi pusat data pula, penggunaan kuasa, keperluan penyejukan dan kapasiti pemprosesan menjadi antara petunjuk aktiviti.
Pada masa sama, pertumbuhan berasaskan AI perlu disertai peningkatan pendapatan dan kemahiran tenaga kerja bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara lebih meluas.
“Kerajaan perlu memastikan kekayaan yang dijana di bilik bersih dapat diterjemah kepada peningkatan kadar upah dan gaji serta kemakmuran secara meluas bagi mengelak ekonomi dua kelajuan,” katanya.
Mereka berkata industri yang menjadi pemacu pertumbuhan memerlukan tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan, sains data dan pembuatan berteknologi tinggi.
Antara bidang yang dilihat menawarkan peluang pelaburan ialah utiliti pembekal tenaga kepada pusat data, hartanah perindustrian di Johor serta firma kejuruteraan berketepatan tinggi.
Perkembangan pusat data, AI dan industri teknologi tinggi menjadi antara pemacu baharu pelaburan Malaysia, khususnya di Pulau Pinang dan Johor.
Peralihan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi turut meningkatkan keperluan tenaga mahir, bekalan elektrik dan infrastruktur sokongan.
Anwar kehilangan abang tercinta, mohon doa buat Idrus Ibrahim
Bekas COO Tabung Haji didakwa terima kos ubah suai RM302,499: Bernama
Malaysia terus terbuka pelaburan teknologi China: Anwar
Eksploitasi seksual kanak-kanak: MCMC, PDRM tingkat kerjasama
JPJ nafi hantaran tular berkait lesen kepada Rohingya, buat laporan MCMC: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum