Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Malaysia akan terus memperkukuh komitmen terhadap perdagangan terbuka, multilateralisme dan integrasi ekonomi serantau bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan di sebalik ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan ekonomi global.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan perdagangan penting kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, selain menjadi asas kepada kemakmuran ekonomi rantau Asia Pasifik.
Beliau berkata, negara-negara serantau perlu memperkukuh kerjasama ekonomi dan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan bagi mengelakkan perdagangan antarabangsa menjadi punca perpecahan.
“Kita perlu memperkukuh sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan memastikan perdagangan kekal sebagai instrumen yang membuka peluang berbanding mewujudkan perpecahan,” katanya ketika menyampaikan Pernyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33, hari ini.
Anwar turut menegaskan konsep kemakmuran bersama tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik, peningkatan taraf hidup dan penyertaan rakyat dalam pembangunan ekonomi.
Menurutnya, inovasi dan kemajuan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), perlu dimanfaatkan untuk memperkasakan rakyat tanpa mengabaikan maruah serta kepentingan manusia.
“Inovasi perlu menjadi penghubung ke arah kemakmuran bersama. Ketika kecerdasan buatan mengubah landskap ekonomi kita, kemajuan teknologi perlu memperkasakan rakyat dan memelihara maruah mereka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan gangguan geopolitik, ketidakstabilan bekalan tenaga dan perubahan iklim boleh memberi kesan langsung terhadap kehidupan rakyat serta kestabilan ekonomi rantau ini.
Justeru, katanya, usaha membina kemakmuran perlu disertai langkah memperkukuh daya tahan negara, termasuk memberikan perhatian serius terhadap keselamatan siber.
“Kekuatan komuniti Asia Pasifik tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan pertumbuhan yang dijana, tetapi melalui peluang yang diwujudkan, ketidaksamaan yang dikurangkan dan daya tahan yang dibina bersama,” katanya.
APEC merupakan forum kerjasama ekonomi yang menghimpunkan 21 ekonomi anggota bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan bebas di rantau Asia Pasifik.
Gabungan ekonomi anggota APEC mewakili hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada keseluruhan ekonomi dunia.
Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC yang ditubuhkan pada 1989, dengan kerjasama forum itu menjadi antara platform penting dalam memperluas hubungan perdagangan, pelaburan dan integrasi ekonomi serantau.
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan