Fahmi berucap semasa sesi panel bertajuk The AI Wave, Malaysia’s Next Move di Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di sini hari ini.
Kerajaan komited memperkukuh dasar, peraturan dan infrastruktur digital bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan sewajarnya serta menikmati sepenuhnya manfaat ekonomi daripada perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkembangan pesat AI sedang mengubah operasi perniagaan, industri dan landskap pekerjaan, sekali gus memerlukan pendekatan tadbir urus yang terancang bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam perubahan teknologi itu.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan dasar dan struktur sokongan sedia ada mampu menangani kesan perubahan tersebut, termasuk risiko kehilangan pekerjaan akibat automasi serta kemunculan peluang pekerjaan baharu.
“Bagi pihak kerajaan, kita perlu memastikan dasar dan peraturan, iaitu struktur keselamatan dan sokongan yang disediakan, mampu mendepani perubahan drastik sama ada dalam bentuk pemusnahan kreatif atau peluang pekerjaan baharu yang bakal kita saksikan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika menyertai sesi panel bertajuk ‘The AI Wave, Malaysia’s Next Move’ sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026, hari ini.
Fahmi turut menegaskan pengawalseliaan AI perlu dilaksanakan secara teliti dan berhemah, bukannya secara tergesa-gesa sehingga menjejaskan perkembangan teknologi serta peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan negara.
Menurutnya, cabaran utama ialah kepantasan evolusi AI yang menyukarkan kerajaan merangka peraturan bersesuaian, sedangkan proses meluluskan sesuatu undang-undang di Parlimen boleh mengambil masa sehingga dua tahun.
“Amat sukar untuk mengawal selia teknologi ini kerana kita tidak tahu bagaimana AI akan berubah atau berevolusi dalam tempoh tiga atau enam bulan akan datang,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem AI negara, beliau berkata penubuhan AI Malaysia Bhd menjadi antara langkah konkrit Kerajaan MADANI untuk memastikan Malaysia bersedia menghadapi perkembangan teknologi berkenaan.
Katanya, Malaysia turut mempunyai peluang ekonomi besar melalui perkembangan industri pusat data, meskipun kapasiti pengkomputeran AI global ketika ini masih dikuasai dua negara yang mengawal kira-kira 90 peratus kapasiti berkenaan.
Beliau berkata, pelaburan berterusan kerajaan dalam memperluas rangkaian 5G sejak empat tahun lalu turut menyediakan asas penting untuk penggunaan AI secara lebih meluas.
Setakat ini, liputan 5G negara mencapai kira-kira 92 peratus dengan kadar penggunaan sebanyak 89 peratus, sekali gus membuka ruang kepada sektor perniagaan, komuniti dan pelajar memanfaatkan teknologi AI secara produktif.
Fahmi turut menekankan setiap insentif dan inisiatif kerajaan berkaitan AI perlu berasaskan bukti bagi memastikan penggunaan dana awam memberikan pulangan serta manfaat sebenar kepada rakyat.
Perkembangan AI kini menjadi antara agenda utama negara susulan potensinya meningkatkan produktiviti, menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu, selain membawa cabaran terhadap keselamatan data, perubahan kemahiran tenaga kerja dan kelangsungan pekerjaan sedia ada. – Bernama
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
KDN kaji kawalan lebih ketat di pangkalan tentera, polis
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan