Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil.
Nahas awal pagi hari ini melibatkan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan sebuah treler di Teluk Intan, Perak merupakan detik hitam buat pasukan keselamatan negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sembilan mangsa anggota FRU yang terkorban dan menganggap ia satu kehilangan besar buat negara.
“Anggota FRU adalah wira negara yang sentiasa berada di barisan hadapan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
“Pemergian mereka merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperjuangan, tetapi juga kepada negara yang amat menghargai segala pengorbanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seluruh warga Kementerian Komunikasi turut berduka dan mendoakan agar roh semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat sukar ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fahmi turut mendoakan kesembuhan segera buat semua anggota yang cedera dalam kejadian berkenaan, serta menyeru agar semua pihak tidak menyebarkan berita tidak sahih berkaitan insiden tersebut.
“Kami bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih serta menyekat penyebaran berita palsu demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan,” tambahnya.
Kad UNHCR bukan lesen langgar undang-undang Imigresen
Zahid nafi KKDW terlebih belanja projek jalan luar bandar
Jerebu makin teruk, KPM benarkan anak tak ke sekolah
Agong perkenan penamatan darurat di Serian hari ini: PMO
Bekas Pengarah FELDA direman SPRM berhubung projek dan penjualan tanah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum