Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairuddin Takiri.
Seorang pemimpin UMNO mengingatkan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, supaya tidak terkejut sekiranya Presiden UMNO bakal mengumumkan cadangan kerjasama melibatkan agenda Islam pada masa terdekat, termasuk kemungkinan mengajak untuk bergabung atas dasar kepentingan ummah.
Peringatan itu disuarakan oleh Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairuddin Takiri, susulan kenyataan Idris yang dilihat bersifat keras terhadap UMNO.
Menurut Khairuddin, pendekatan sedemikian tidak mencerminkan budaya politik matang yang pernah diamalkan bersama sebelum ini.
“Kita dulu mengangkat Budaya Politik Matang Sejahtera. Politik berkasar bukan budaya kita, apatah lagi dalam politik Islam,” katanya sambil mengingatkan bahawa pendekatan berlembut perlu diutamakan, lebih-lebih lagi sesama parti Melayu-Islam seperti UMNO dan PAS.
Khairuddin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO menegaskan sebarang usaha kerjasama yang dirangka bukan semata-mata untuk kepentingan parti, sebaliknya demi maslahat Islam secara menyeluruh.
“Kalau Islam yang diperjuangkan, maka bergabunglah atas nama Islam, bukan semata-mata atas nama parti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan agenda Islam hari ini bukan lagi bersifat kepartian sempit, sebaliknya menjadi sebahagian daripada dasar kerajaan melalui Kerajaan Perpaduan yang diterajui bersama oleh UMNO.
“Agenda Islam kini adalah agenda kerajaan. Ia diputuskan melalui Kabinet dan dilaksanakan secara kolektif,” jelasnya.
Menurut Khairuddin, sebarang keputusan berkaitan agenda Islam yang diluluskan Kabinet membawa maksud semua anggota Kabinet, termasuk parti bukan Islam, telah bersetuju demi kepentingan negara dan keharmonian masyarakat.
Latar belakang politik semasa menyaksikan UMNO kini memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, berbeza dengan PAS yang kekal sebagai pembangkang.
Situasi ini, kata Khairuddin, membezakan keupayaan UMNO dalam melaksanakan agenda Islam secara berkerajaan.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menasihatkan Idris agar bersabar dan menunggu pengumuman penting oleh Presiden UMNO pada Sabtu ini.
“Tunggu dulu. Ikuti pengumuman Presiden UMNO. Insya-Allah ada perkara besar untuk ummah,” katanya.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
Dikritik ‘katak’ politik, Zaid sasar kembali bertanding PRU atas tiket PAS
PRN Johor: Anwar gesa pengundi pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya