Insiden pengeboman di Selatan Thailand.
Rakyat Malaysia terutama penduduk Kelantan dinasihatkan menangguhkan sementara perjalanan ke Selatan Thailand susulan 51 kejadian letupan dan serangan keganasan yang berlaku di tiga wilayah negara itu, malam Sabtu.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, perkembangan keselamatan di Selatan Thailand perlu diberi perhatian serius susulan peningkatan insiden keganasan yang dilaporkan berlaku hampir setiap hari.
Menurutnya, polis tidak menghalang rakyat Malaysia untuk berkunjung ke negara jiran itu, namun aspek keselamatan perlu diberi keutamaan.
“Kalau hendak ke sana, kita tidak halang, cuma perlu lebih berhati-hati. Malam tadi saya bersama kumpulan Ducati Malaysia yang tiba di Kelantan dan merancang masuk ke Thailand hari ini.
“Saya nasihatkan mereka supaya tidak masuk ke Hatyai kerana ada 51 kejadian letupan berlaku di Selatan Thailand malam tadi,” katanya pada sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Melibatkan Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Selatan Thailand kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku secara hampir serentak di Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh kira-kira dua jam.
Serangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pemisah itu membabitkan pengeboman, pembakaran pejabat serta kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan di kedai serbaneka dan pembakaran tayar.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terutama dalam kalangan rakyat Malaysia yang kerap berulang-alik ke Selatan Thailand atas urusan pelancongan, perniagaan dan keluarga.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff turut mengingatkan rakyat Malaysia yang memasuki Thailand supaya mematuhi peraturan negara itu, terutama ketika operasi penguatkuasaan trafik dipertingkatkan.
“Pihak berkuasa mereka sedang mencari kes, terutama membabitkan kesalahan trafik. Mereka akan saman semua kenderaan dari Malaysia yang tidak mematuhi peraturan negara mereka,” katanya.
Kelantan mempunyai hubungan rentas sempadan yang aktif dengan Selatan Thailand, termasuk melalui pintu masuk utama di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.
Sehubungan itu, orang ramai yang merancang perjalanan ke wilayah berkenaan disaran mendapatkan maklumat keselamatan terkini dan mempertimbangkan keperluan perjalanan sebelum meneruskan pergerakan.
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum