Kes scam..
Seorang suri rumah berusia 46 tahun mengalami kerugian RM472,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan telefon atau *phone scam* yang menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai kerajaan dan polis.
Mangsa yang ketakutan selepas dituduh terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram membuat 21 transaksi pembayaran ke tiga akaun bank berbeza antara 18 Ogos hingga 19 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 10.30 pagi semalam selepas menyedari dirinya ditipu.
Menurutnya, kejadian bermula pada 5 Ogos lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Mohd Farhan Jamil, kononnya wakil Kementerian Komunikasi.
“Individu terbabit memaklumkan mangsa kononnya terlibat dalam aktiviti penyebaran saham pelaburan, bantuan kerajaan dan peluang pekerjaan.
“Panggilan kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sebelum mangsa bercakap dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Andi’,” katanya.
Azli berkata, suspek yang menyamar sebagai anggota polis itu meminta mangsa membaca nombor kad pengenalannya sebelum mendakwa wanita berkenaan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Mangsa turut diberitahu kononnya waran tangkap sudah dikeluarkan terhadapnya, sekali gus menyebabkan wanita itu semakin bimbang dan takut ditahan pihak berkuasa.
Sindiket berkenaan kemudian menyambungkan panggilan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai Zaleha, kononnya daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Menurut Azli, individu itu mengarahkan mangsa membuat pembayaran kononnya bagi menyelesaikan kes berkenaan, dengan jaminan wang terbabit akan dikembalikan selepas siasatan selesai.
“Disebabkan takut ditangkap, mangsa membuat 21 transaksi ke tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM472,000,” katanya.
Bagaimanapun, selepas semua transaksi selesai, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM80,000.
Mangsa tidak mematuhi arahan itu kerana mula mengesyaki dirinya menjadi sasaran penipuan sebelum tampil membuat laporan polis.
Azli berkata, wang yang digunakan mangsa untuk membuat pembayaran itu adalah daripada simpanan peribadinya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum