Isu jalan luar bandar: Zafrul sindir ada pihak guna cybertrooper Vietnam

November 1, 2026 · Politik

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyindir pihak tertentu susulan dakwaannya akaun Facebook beliau diserang sekumpulan pengguna media sosial selepas menjelaskan isu peruntukan pembangunan jalan luar bandar.

Menerusi video pendek yang dimuat naik di media sosial, Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu secara sinis mempersoalkan sama ada terdapat parti politik Malaysia yang membuka cawangan di Vietnam.

“Ada orang terasa ke?Lepas saya buat video penjelasan tentang peruntukan jalan luar bandar yang meningkat hampir tiga kali ganda, tiba-tiba ramai ya cybertrooper Vietnam serang Facebook saya.

“Hai, ada parti buka cawangan baharu kat Vietnam ke?” katanya.

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, sindiran itu dipercayai berkait dengan pertikaian mengenai peruntukan pembangunan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, susulan dakwaan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, mengenai pembatalan projek pembangunan yang telah diperuntukkan bagi 2026.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan meluahkan kekecewaan di Dewan Rakyat pada 26 Oktober lalu berhubung dakwaan terdapat projek pembangunan luar bandar yang diarahkan supaya dibatalkan walaupun peruntukan telah tersedia.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul dalam penjelasannya pada 30 Oktober menjelaskan Kementerian Kewangan (MOF) tidak pernah mengarahkan pembatalan projek pembangunan jalan luar bandar seperti yang didakwa.

Sebaliknya, beliau menjelaskan penangguhan kontrak baharu dilakukan bagi mengawal peningkatan tunggakan bayaran kepada kontraktor berikutan komitmen perbelanjaan yang melebihi peruntukan asal diluluskan Parlimen.

Menurutnya, perbelanjaan pembangunan jalan luar bandar bagi tempoh 2018 hingga 2022 berjumlah RM3.7 bilion, berbanding RM11 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2027.

Beliau turut mendedahkan perbelanjaan sebenar pembangunan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak pada 2026 mencecah RM1.41 bilion, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Sejak 2023, kerajaan juga telah membelanjakan RM4.6 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar, dengan kira-kira separuh daripada perbelanjaan tahunan disalurkan kepada Sabah dan Sarawak.

Bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, turut meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta bagi 2026 melalui penjimatan peruntukan pembangunan kementerian lain.

Isu berkenaan mencetuskan perbezaan pandangan mengenai pengurusan peruntukan pembangunan luar bandar dan tanggungjawab kerajaan memastikan projek yang diperlukan rakyat dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, dakwaan Tengku Zafrul mengenai serangan cybertrooper dari Vietnam belum disahkan secara bebas.

Beliau juga tidak menamakan parti yang dimaksudkan atau mengemukakan bukti mengaitkan serangan itu dengan mana-mana parti politik.

Berita berkaitan
RM259.5 juta tunggakan projek luar bandar perlu dilunaskan: Zahid
8 jam lalu· Isu semasa
Dana kerajaan mesti sampai kepada rakyat, bukan bocor: PMX
8 jam lalu· Isu semasa
Isu KKDW terlebih belanja RM2.1 bilion: AMK Selangor persoal penjelasan SUA Zahid
8 jam lalu· Politik
Putrajaya lulus hampir semua projek pembangunan Kelantan: Menteri Besar
11 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Jangan salah guna agama dalam politik, pesan Dr Maza
November 1, 2026 · Politik
PH pilih pendekatan politik khidmat di Melaka, bukan hanya bersuara lantang: Fahmi
November 1, 2026 · Politik
Perpaduan Melayu-Islam UMNO-PAS hanya helah politik: Amanah Selangor
November 1, 2026 · Politik
BN-PN bergabung, DAP perlu bersedia hadapi cabaran besar: Loke
10 jam lalu · Politik
Najib kekal di penjara selagi denda RM50 juta belum dibayar: AG
10 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
10 jam lalu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok