Anwar berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026, hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan dana kerajaan, sambil menegaskan setiap peruntukan mesti diurus dengan penuh integriti dan sampai kepada golongan sasaran.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, agensi pembiayaan keusahawanan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memikul tanggungjawab besar memastikan dana yang disediakan kerajaan tidak mengalami ketirisan atau penyelewengan.
“Jaga betul-betul… ini wang amanah. Kamu langgar, kamu ditangkap dan didakwa. Ini baru boleh selamat negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026, hari ini.
Anwar berkata, pengurusan kewangan yang cekap dan telus membolehkan kerajaan meningkatkan bantuan serta peruntukan untuk rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah dan penjawat awam.
Menurutnya, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM16 bilion pada tahun depan, manakala pelarasan gaji penjawat awam bernilai RM18 bilion dilaksanakan tahun ini.
Beliau berkata peningkatan peruntukan itu dapat direalisasikan melalui usaha membendung ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan wang awam.
“Ada orang pertikai macam mana boleh peruntukan bertambah? Sebab dia tak bocor, sebab tak sakau, sebab tak rasuah. Insya-Allah ada berkat dan kita tolong rakyat, itu tujuan kita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI tidak mengamalkan diskriminasi dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat, termasuk di negeri yang ditadbir parti pembangkang.
Beliau berkata kerajaan tetap bertanggungjawab menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik, termasuk menyalurkan semula bantuan sagu hati kepada guru agama serta membaik pulih bangunan sekolah pondok yang terabai di Kelantan.
“Kelantan itu bukan kerajaan daripada parti yang sama, tapi masalah rakyat, ini masalah kita. Ini beza daripada apa yang kita dengar di luar kononnya ada diskriminasi, tak tolong, orang Melayu tak dapat apa.
“Bila kita ambil alih tahun 2022, kita fikir ini bukan satu sistem yang adil. Kita kata kita nak jaga rakyat, maka kita bantu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mempertahankan amalan salah guna kuasa dan rasuah, sebaliknya menjadikan integriti, adab dan akhlak sebagai asas dalam pentadbiran serta kehidupan bermasyarakat.
“Kita diseru untuk menegakkan yang baik, menolak yang mungkar,” katanya.
RM259.5 juta tunggakan projek luar bandar perlu dilunaskan: Zahid
25 aduan petrol bercampur air di Perak: KPDN
Sultan Selangor gering, istiadat 1 November ditunda
Dana Inovasi Media: MPI hargai komitmen kerajaan perkukuh industri media
Fahmi mahu penerima dana media kekalkan pekerja, jangan berhentikan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum