Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.
Jabatan Penjara bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang kini menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di sini.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Penjara bagi memastikan semua aspek keselamatan dan pematuhan sepanjang tempoh tahanan rumah itu berjalan lancar.
Menurutnya, memandangkan kediaman Najib terletak dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pihaknya sudah mengarahkan IPD berkenaan menjalankan pemeriksaan serta pemantauan dari semasa ke semasa.
“Memandangkan rumah itu berada di bawah kawasan pentadbiran IPD Sentul, jadi saya telah mengarahkan IPD untuk melaksanakan pemeriksaan dan juga kawalan dari semasa ke semasa,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM 2026, hari ini.
Mohd Khalid turut memaklumkan PDRM menempatkan beberapa pegawai bagi membantu Jabatan Penjara sepanjang Najib menjalani baki hukuman di kediaman berkenaan.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah semalam, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan perintah berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat Hakim Aslam Zainuddin selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu terhadap Najib, 73.
Pelaksanaan tahanan rumah itu menjadi perkembangan terbaharu dalam kes SRC International yang menyaksikan Najib sebelum ini disabitkan kesalahan menyalahgunakan kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat berkenaan.
Dengan pelaksanaan kaedah itu, Jabatan Penjara bertanggungjawab memastikan kawalan terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan, manakala PDRM membantu dari sudut pemantauan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.
Pelaburan digital RM812 juta perkukuh kerjasama Malaysia-Perancis
880 calon guru simpanan bakal terima surat lantikan sebelum 14 Disember
13,883 kandungan deepfake dipadam, 61 kes disiasat: Fahmi
Politik identiti perlu bina keyakinan, bukan cetus kebencian: Prof Mohd Afandi
PKR: Jangan kelirukan isu KLSCAH dengan sewa PPR, Akmal dibidas
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron