Krisis politik Negeri Sembilan.
Polis akan memanggil beberapa bekas Exco Negeri Sembilan mulai esok dan lusa bagi merakam keterangan berhubung kemelut pentadbiran negeri serta isu membabitkan institusi diraja.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan itu susulan beberapa laporan polis yang diterima berkaitan perkembangan politik dan pentadbiran di Negeri Sembilan.
Menurutnya, selain bekas Exco, polis turut akan mengambil keterangan daripada beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan.
“Memang banyak laporan polis telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu berhubung perkara itu. Kita akan menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada mereka yang berkaitan, termasuk bekas Exco dan mereka yang terlibat.
“Setakat ini polis telah memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan, termasuk seorang atau dua individu yang berkemungkinan menjadi saksi dalam kes berkenaan,” katanya dipetik laporan berita semasa Majlis Peluncuran Projek Whitening the Blackspot Kontinjen Polis Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, hari ini.
Mohd Khalid berkata, polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
Mengulas mengenai peruntukan undang-undang yang mungkin digunakan, beliau berkata polis masih meneliti kesemua laporan yang diterima dan tidak menolak kemungkinan terdapat kes yang mempunyai kaitan dengan Akta Hasutan atau peruntukan undang-undang lain.
“Polis menyiasat, tetapi yang membuat keputusan sama ada hendak mendakwa dan sebagainya ialah Peguam Negara. Mungkin dalam beberapa kes ada berkaitan dengan Akta Hasutan, mungkin ada pelanggaran lain dan memerlukan penelitian semua pihak, terutama sekali pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan menjadi perhatian selepas berlaku beberapa perkembangan melibatkan kepimpinan kerajaan negeri dan kedudukan beberapa anggota Exco.
Perkembangan itu turut mencetuskan laporan polis dan kenyataan daripada pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan ketika ini berada dalam keadaan baik serta terkawal.
Katanya, masyarakat negeri itu dilihat memahami perkembangan semasa dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Kita cuba mengekalkan suasana itu dengan sempurna demi keselamatan masyarakat dan juga rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.
Chegubard dipenjara empat bulan kes fitnah: Laporan
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
Mahkamah dengar cabaran PN terhadap penggantungan RoS 7 Disember
Lima tahun dibicarakan, pendakwaan tutup kes terowong Guan Eng
PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum