Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim mengesahkan beliau menarik balik surat yang dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama, sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam kemelut institusi diraja yang melanda Negeri Sembilan sejak April lalu.
Terdahulu, Ismail dilaporkan mengubah pendirian dengan menarik balik surat berkenaan dan kembali menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri itu.
Surat berkenaan difahamkan turut membawa sokongan sebulat suara 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipecat terhadap kedudukan Tuanku Muhriz.
Pendirian itu dikatakan mengambil kira kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja susulan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 pada 14 Oktober lalu.
Ismail dan bekas anggota Exco terbabit sebelum ini dilaporkan mengambil pendirian menyokong Tuanku Muhriz berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun yang memberikan injunksi interim bagi mengekalkan status quo.
Kemelut itu turut mendapat perhatian Raja-Raja Melayu yang pada 14 Oktober menggesa semua pihak menggunakan kebijaksanaan dan kesabaran bagi menyelesaikan pertikaian melalui saluran undang-undang.
Raja-Raja Melayu turut mengingatkan pihak luar supaya tidak campur tangan atau mempolitikkan krisis berkenaan, sebaliknya menyelesaikannya secara berhemah mengikut adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pada 16 Oktober lalu, Tuanku Muhriz turut menegur Ismail secara terbuka selepas timbul dakwaan Menteri Besar itu menghantar surat memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar.
Dalam beberapa video yang tersebar di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat mempersoalkan tindakan Ismail dan meminta beliau menarik balik kenyataan berkenaan.
Krisis institusi diraja Negeri Sembilan tercetus pada April apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Mereka kemudian didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka pada Jun.
Pada September lalu, Ismail pula menyokong kenyataan Exco negeri yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz, sebelum baginda membatalkan pelantikan semua anggota Exco kerajaan negeri.
Sementara itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada pertengahan Oktober telah dibatalkan sebelum ditetapkan semula pada 26 November ini.
Perkembangan terbaharu itu dijangka menjadi perhatian menjelang persidangan DUN berkenaan, khususnya dalam melihat hala tuju pentadbiran negeri ketika kemelut institusi diraja masih belum menemui penyelesaian.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
PRU-16: PH boleh pertimbang logo parti masing-masing
Jangan pertahan pemimpin rasuah kerana sebangsa: Mat Sabu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan