‘Kempen tanpa Zahid’ mula jadi naratif dalam UMNO, formula terbaik kemenangan?

August 6, 2026 · Politik

Perkembangan politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dilihat bukan sekadar memperlihatkan perubahan landskap kerjasama parti, malah didakwa mencerminkan percaturan dalaman UMNO yang semakin menarik perhatian pemerhati politik.

Seorang penganalisis politik yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Din berpandangan, kempen UMNO dalam PRN Johor memperlihatkan penglibatan Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, pada tahap minimum berbanding kebiasaan.

Menurutnya, keadaan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya memberi gambaran wujud usaha membentuk persepsi baharu dalam kalangan ahli dan penyokong parti.

“Kalau diperhatikan sepanjang kempen di Johor, hampir tiada poster atau gambar Zahid dipaparkan secara meluas. Kehadiran beliau juga sangat terhad. Ini dilihat sebagai satu mesej politik, iaitu UMNO mampu bangkit dan menang tanpa bergantung kepada Zahid,” katanya.

Pak Din mendakwa strategi tersebut berjaya membentuk naratif “UMNO Tanpa Zahid”, sekali gus meningkatkan keyakinan kumpulan tertentu dalam parti.

Mengulas situasi di Negeri Sembilan, beliau berpandangan isu kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) turut mempunyai dimensi politik dalaman UMNO.

Katanya, cadangan kerjasama itu secara tidak langsung dilihat sebagai hujah untuk mempertikaikan keputusan Zahid membawa UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Perbincangan mengenai kerjasama BN-PN juga boleh ditafsirkan sebagai usaha menunjukkan keputusan bersama PH bukan pilihan terbaik. Dalam masa sama, kempen yang terlalu agresif terhadap PH akhirnya memberi kesan kepada imej Zahid kerana beliau merupakan individu yang membawa UMNO ke arah kerjasama itu,” katanya.

Menurut beliau, walaupun pemimpin kanan UMNO dilihat terus turun berkempen bersama Presiden parti, perbezaan pandangan dalam parti lazimnya tidak dipamerkan secara terbuka.

“UMNO mempunyai budaya politik tersendiri. Pertelingkahan jarang berlaku secara terbuka, sebaliknya orang ramai hanya melihat kesannya kemudian,” katanya.

Pak Din turut mendakwa Zahid mempunyai beberapa pilihan politik bagi menghadapi tekanan daripada kumpulan yang tidak sehaluan dengannya, termasuk selepas berakhirnya PRN Negeri Sembilan.

Beliau turut mendakwa terdapat perbincangan tidak rasmi mengenai kemungkinan PH menyertai pentadbiran kerajaan negeri, namun mengakui perkara itu masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.

Mengulas hubungan BN dan PH secara keseluruhan, beliau berpandangan kedua-dua pihak masih belum menunjukkan hala tuju yang benar-benar jelas.

“Sekarang kedudukan seolah-olah seimbang. Ada kumpulan yang membawa naratif ‘UMNO Tanpa Zahid’ dan ada pula yang melihat Zahid sebagai penyelamat parti. Permainan politik ini bukan sekadar melibatkan BN dan PH, tetapi juga percaturan dalaman UMNO sendiri,” katanya.

Selepas PRU-15, UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan bersama PH dan beberapa parti lain.

Namun sejak kebelakangan ini, beberapa pemimpin parti mula mencadangkan kerjasama baharu antara BN dan PN, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju politik UMNO menjelang pilihan raya akan datang.

Berita berkaitan
Calon MCA belum terima watikah BN, isu kerusi belum selesai?
1 jam lalu· Politik
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
11 jam lalu· Isu semasa
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
October 27, 2026· Politik
MCA semakin terpinggir dalam BN, dakwa pemimpin PKR
October 27, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Chegubard dipenjara empat bulan kes fitnah: Laporan
9 jam lalu · Politik
Mahkamah dengar cabaran PN terhadap penggantungan RoS 7 Disember
October 27, 2026 · Politik
Lima tahun dibicarakan, pendakwaan tutup kes terowong Guan Eng
October 27, 2026 · Politik
PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas baharu
October 27, 2026 · Politik
Kes tangkap basah: Nik Nazmi beri keterangan JAIS lebih empat jam
October 27, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok