Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi bagi memastikan liputan yang memuaskan di kawasan luar bandar.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan MCMC menjalankan audit kualiti secara berkala di seluruh negara bagi memastikan pematuhan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).
“Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti liputan internet, MCMC menjalankan audit kualiti secara berkala di seluruh negara bagi memastikan pematuhan berterusan oleh pemberi perkhidmatan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) yang telah ditetapkan.
“Lokasi-lokasi audit dikenal pasti melalui sumber aduan dan data pengujian orang awam yang merekodkan banyak keputusan di bawah piawaian MSQoS,” kata Fahmi dalam jawapan lisan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Tuan Haji Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan di Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan audit tahun 2024, sebanyak 268 Arahan Suruhanjaya telah dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada pemberi perkhidmatan yang gagal mematuhi piawaian tersebut.
Arahan ini melibatkan 219 lokasi yang memerlukan penambahbaikan segera.
Dari 1 Januari hingga 31 Julai 2025, sebanyak 2,781 ujian kualiti telah dijalankan di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, 1,684 ketidakpatuhan MSQoS telah direkodkan melibatkan 815 lokasi.
Pemberi perkhidmatan telah berjaya membuat penambahbaikan pada 462 ketidakpatuhan, manakala baki 1,222 lagi masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya.
MCMC akan menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya dan kegagalan mematuhi arahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 53 Akta 588.
Penalti kewangan sehingga RM500,000 juga boleh dikenakan mengikut subseksyen 105(5) akta yang sama.
Orang ramai digalakkan membuat aduan terus kepada pemberi perkhidmatan sekiranya menghadapi masalah kualiti perkhidmatan.
Jika isu tidak diselesaikan, aduan boleh dikemukakan kepada MCMC melalui laman web https://aduan.mcmc.gov.my atau aplikasi MCMC NEXUS untuk lokasi yang mengalami kelajuan muat turun di bawah 10 Mbps secara konsisten.
Guan Eng desak Sosma dimansuh susulan penahanan remaja 16 tahun
Agong berangkat ke Russia untuk lawatan khas: Laporan
SPRM sita aset RM9.7 juta dalam siasatan pelaburan RM300 juta
Sultan Pahang tegur salah guna kuasa di sebalik baju seragam dan institusi
Akses lebih adil kepada pelajar pelbagai aliran masuk ke universiti awam: Loke
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong