Kereta terbang masuk pasaran China.
Impian memiliki kereta terbang bakal menjadi kenyataan apabila syarikat teknologi automotif China, XPeng, merancang memperkenalkan kenderaan berkenaan untuk kegunaan pengguna seawal separuh kedua tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif XPeng, Deli Zhao, berkata kenderaan altitud rendah yang dianggarkan bernilai AS$300,000 (RM1.2 juta) itu dijangka digunakan bagi tujuan rekreasi di kawasan luar bandar serta membantu operasi kecemasan.
Menurutnya, pembangunan kenderaan berkenaan mengambil masa kira-kira 10 tahun, termasuk pelbagai ujian penerbangan yang dijalankan di pangkalan syarikat itu di Guangzhou.
Projek berkenaan kini memperoleh kelulusan pihak berkuasa penerbangan awam China untuk penggunaan secara terhad, sekali gus membuka laluan kepada pengkomersialan teknologi pengangkutan udara peribadi.
Kenderaan itu mempunyai ruang kokpit yang menyerupai kereta Fiat 500 dan menggunakan enam kipas berkuasa bateri seperti dron untuk membolehkannya terbang.
Ia turut dilengkapi sistem kawalan menggunakan kayu kemudi ringkas, selain mempunyai keupayaan terbang secara automatik menuju destinasi yang telah diprogramkan.
Zhao yang juga seorang juruterbang bertauliah mendakwa pengguna hanya memerlukan kira-kira lima minit latihan untuk mempelajari asas pengendalian kenderaan berkenaan.
Menariknya, harga jualan itu turut merangkumi sebuah van enam roda bersaiz Ford Transit yang berfungsi sebagai kenderaan pengangkut. Struktur kereta terbang berkenaan boleh dikeluarkan secara automatik dari bahagian belakang van itu apabila diperlukan.
Dari segi prestasi, kenderaan berkenaan mampu mencapai ketinggian sehingga satu kilometer dari paras tanah dengan jarak penerbangan maksimum kira-kira 30 kilometer bagi setiap cas penuh bateri.
XPeng turut merancang meningkatkan ketumpatan tenaga baterinya kepada 400 kilowatt setiap kilogram bagi membolehkan jarak penerbangan digandakan pada masa depan.
Zhao berkata ilham pembangunan kenderaan itu turut dipengaruhi imaginasi teknologi penerbangan dalam filem Harry Potter serta papan luncur terbang watak Green Goblin dalam komik Spider-Man.
Mengulas mengenai prototaip kenderaan terbang yang dikaitkan dengan Elon Musk dan Tesla, beliau menyifatkan teknologi pesaing dari Amerika Syarikat itu lebih menyerupai pergerakan melompat berbanding penerbangan sebenar.
Pembangunan kereta terbang XPeng mencerminkan persaingan semakin sengit dalam industri mobiliti udara bandar, yang menyaksikan syarikat teknologi dan automotif berlumba-lumba membangunkan kenderaan elektrik yang mampu beroperasi di udara.
Bagaimanapun, aspek keselamatan, peraturan penerbangan dan kos pemilikan masih menjadi cabaran utama sebelum teknologi itu dapat digunakan secara meluas oleh orang ramai.
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan