Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Foto kredit: PMO
Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 dijangka membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus memperkukuh kedudukan syarikat tempatan dalam pasaran antarabangsa.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyambut baik kemajuan pelaksanaan perjanjian itu yang dilihat mampu memperluas kerjasama ekonomi antara negara ASEAN dan China.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan tidak seharusnya tertumpu kepada perdagangan konvensional sahaja, sebaliknya perlu diperluas kepada sektor berteknologi tinggi dan ekonomi masa depan.
“Kerjasama ini juga perlu diperluas dalam bidang ekonomi digital, AI, pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta peralihan tenaga bersih,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Anwar berkata, Malaysia komited memperkukuh hubungan ASEAN-China yang tahun ini genap 35 tahun sejak terjalinnya hubungan dialog, selain lima tahun perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua pihak.
Beliau melihat hubungan ekonomi yang lebih erat mampu memberi manfaat kepada negara anggota ASEAN, khususnya dalam menarik pelaburan, memperluas akses pasaran dan meningkatkan daya saing perniagaan tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, termasuk meneruskan rundingan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan.
Katanya, penyelesaian secara rundingan amat penting bagi memastikan kawasan berkenaan terus aman dan tidak mencetuskan ketegangan antara negara yang mempunyai kepentingan di rantau itu.
Menyentuh isu Palestin, Anwar turut menghargai sumbangan China dalam usaha kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza.
“Saya turut menegaskan pendirian Malaysia terhadap kekejaman yang berterusan ke atas rakyat Palestin, khususnya di Gaza, serta keperluan untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan,” katanya.
ACFTA merupakan kerangka perdagangan bebas antara ASEAN dan China yang bertujuan memperluas perdagangan, mengurangkan halangan perdagangan serta meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua pihak.
Penambahbaikan menerusi ACFTA 3.0 dijangka memberi ruang lebih besar kepada PMKS tempatan untuk menembusi pasaran China dan memanfaatkan peluang dalam rantaian bekalan serantau.
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
Dua tahun terhenti, Litar Lumba Sungai Petani disasar siap 2027: Sanusi
Mahkamah tolak semakan kehakiman Mukhriz isu cukai RM5 juta LHDN
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis