KJ cadang UMNO akui kegagalan tadbir urus TH jika mahu buat perubahan

August 5, 2026 · Isu semasa

Khairy Jamaluddin menggesa UMNO mengakui kelemahan tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) yang berlaku ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) antara 2014 hingga 2017, sambil menyifatkan pengakuan itu penting jika parti berkenaan benar-benar mahu dilihat serius melaksanakan reformasi.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau memahami pendirian beberapa pemimpin parti yang menafikan berlaku penyelewengan atau rasuah dalam pengurusan TH susulan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), terutama ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.

Namun, menurutnya, pendekatan mempertahankan parti semata-mata tidak memadai dan UMNO perlu bersikap lebih terbuka terhadap kelemahan yang dikenal pasti.

“Saya faham ketika kempen pilihan raya mungkin kita perlu mempertahankan parti dan menjelaskan tiada penyelewengan berlaku. Tetapi selepas ini, sudah tiba masanya UMNO bersikap jujur dan mengakui memang wujud kegagalan dalam aspek tadbir urus.

“Kalau kita mengambil pendirian itu, sekurang-kurangnya rakyat akan melihat UMNO sedang berubah dan benar-benar mahu memulihkan keyakinan terhadap parti,” katanya ketika mengendalikan podcast Keluar Sekejap, malam tadi.

Khairy turut berharap isu berkenaan dibincangkan secara terbuka pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan supaya kelemahan yang berlaku tidak terus diketepikan.

“Apa yang lemah, gagal dan salah, mestilah kita akui. Jangan sapu perkara ini di bawah karpet. Pengakuan itu lebih baik untuk masa depan parti,” katanya.

Dalam podcast sama, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berpandangan UMNO perlu menggunakan peluang kebangkitan semula sokongan terhadap parti untuk melakukan pembaharuan, bukannya menganggap momentum politik sedia ada sudah mencukupi.

“UMNO tidak boleh melihat gelombang sokongan yang kembali ini sebagai alasan untuk tidak melakukan reformasi, tidak meminta maaf dan tidak memperbaiki kelemahan. Kelestarian sokongan rakyat bergantung kepada kesediaan parti berubah,” katanya.

Minggu lalu, laporan RCI mengenai TH yang telah dinyahklasifikasikan mendedahkan institusi itu berada dalam kedudukan kewangan yang kritikal pada 2017 selepas mengalami kerugian mencecah RM10 bilion.

Laporan itu turut menyatakan kerajaan ketika itu terpaksa melaksanakan pelan pemulihan segera bagi menstabilkan kedudukan kewangan TH serta memastikan kebajikan lebih sembilan juta pendeposit dan pengurusan ibadah haji umat Islam terus terpelihara.

Berita berkaitan
RCI Tabung Haji ditubuh ketika UMNO berkuasa, kenapa dipersoal sekarang? – Mahfuz
12 jam lalu· Politik
Cadangan Audit forensik FELDA akan dibawa ke Kabinet: Anwar
14 jam lalu· Isu semasa
Zahid sokong siasatan Tabung Haji selepas 2017
15 jam lalu· Isu semasa
PRN Melaka: Amirudin diberi amanah teliti kerjasama PH-BN
15 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Jerebu makin meluas, 29 kawasan catat IPU tidak sihat
12 jam lalu · Isu semasa
Gempa bumi lemah 3.1 gegar perairan Batu Pahat
13 jam lalu · Isu semasa
Syed Azman Tokoh Perdana Maulidur Rasul, Anwar ucap tahniah kepada semua penerima
14 jam lalu · Isu semasa
Sosma masih relevan, Ayob Khan tolak ISA dikembalikan: Laporan
15 jam lalu · Isu semasa
Anwar: Jadikan ajaran Rasulullah panduan hidup
15 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok