Mahfuz Omar.
Keputusan PAS menamatkan hubungan ta’awun siyasi dengan Bersatu disifatkan sebagai bukti kegagalan projek politik “penyatuan umat” yang selama ini menjadi antara naratif utama Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar berkata tulisan ruangan Minda Presiden PAS bertajuk “PAS Tidak Pisahkan Politik Daripada Islam (Al-Din)” merupakan pengakuan terbuka agenda penyatuan umat yang dilaungkan sebelum ini tidak berjaya dipertahankan.
Menurut beliau, PAS selama ini berulang kali menegaskan perpaduan umat Islam merupakan tuntutan agama dan asas perjuangan parti itu.
Namun, beliau mempersoalkan mengapa gabungan politik yang dipimpin serta didominasi PAS akhirnya berdepan perpecahan.
“Jika perpaduan umat begitu penting, mengapa gabungan yang dipimpin PAS sendiri akhirnya berpecah?
“Rakyat berhak menilai sama ada projek penyatuan umat yang dilaungkan selama ini benar-benar berjaya atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mahfuz turut merujuk kepada pelbagai kritikan yang terkandung dalam tulisan Presiden PAS terhadap Bersatu, termasuk dakwaan berkaitan ketamakan kuasa, perebutan kerusi, krisis dalaman dan kegagalan memelihara semangat setiakawan dalam gabungan tersebut.
Beliau berkata, sekiranya kelemahan itu benar-benar berlaku, timbul persoalan mengapa PAS terus mempertahankan Bersatu selama bertahun-tahun dan meminta rakyat memberikan sokongan kepada gabungan itu dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Jika Bersatu begitu bermasalah, mengapa PAS mempertahankannya selama ini? Dan jika PAS mendakwa paling memahami konsep perpaduan, mengapa hampir setiap kerjasama politik yang disertainya berakhir dengan perpecahan?” katanya.
Menurut Mahfuz, konflik yang berlaku dalam PN dilihat lebih menjurus kepada perebutan kuasa dan pengaruh politik berbanding perbezaan prinsip seperti yang sering digambarkan.
Beliau berkata, ukuran kejayaan politik Islam bukan terletak pada penggunaan istilah agama atau petikan dalil semata-mata, tetapi kemampuan menterjemahkan nilai amanah, keadilan dan perpaduan dalam pentadbiran kerajaan, pembangunan ekonomi serta hubungan antara kaum.
Pada masa sama, beliau berpandangan rakyat kini lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan cabaran ekonomi susulan ketidaktentuan geopolitik global, termasuk konflik yang berterusan di Asia Barat.
“Malangnya, apa yang dipersembahkan kepada rakyat ialah satu lagi episod pergaduhan sesama sendiri dalam kalangan pemimpin pembangkang,” katanya.
Mahfuz turut menyifatkan tulisan Presiden PAS itu sebagai usaha untuk menjauhkan parti berkenaan daripada tanggungjawab terhadap kegagalan PN mengekalkan kesepaduan gabungan.
Beliau mendakwa PAS kini sedang melakukan “pembersihan sejarah” bagi mengelakkan parti itu dipersalahkan atas keretakan yang berlaku dalam PN.
“Jika perpaduan umat menjadi ukuran kejayaan politik PAS, maka perpisahan PAS dan Bersatu adalah bukti bahawa projek tersebut telah menemui jalan buntu,” katanya.
Hubungan PAS dan Bersatu menjadi perhatian selepas PAS mengumumkan penamatan hubungan kerjasama antara kedua-dua parti.
Tudung dijadikan bahan politik, Syahredzan kecam imej AI libatkan pemimpin DAP
Selangor umum bantuan rakyat RM209 juta, Johor pula bersedia untuk pilihan raya: AMK
DAP ikhlas dengan UMNO, bukan hanya kawan masa senang: Nie Ching
21 saksi selesai beri keterangan dalam kes rasuah bekas MB Perlis
PKR teliti tindakan undang-undang terhadap Rafizi, Nik Nazmi
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar