Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya

October 26, 2026 · Isu semasa

Kerajaan sedang mengkaji semula keperluan kehadiran Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia susulan kegagalannya memainkan peranan dalam menempatkan semula pelarian ke negara ketiga.

Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata UNHCR dilihat tidak lagi melaksanakan tanggungjawab seperti ketika mengendalikan isu pelarian Vietnam antara 1978 hingga 1990.

Beliau berkata, jumlah pelarian yang berjaya ditempatkan semula ke negara ketiga dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini hanya sekitar 5,000 orang, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan peranan badan antarabangsa itu.

“Majoriti pelarian Rohingya adalah pemegang kad UNHCR. Kita minta UNHCR menghantar mereka ke negara ketiga, tetapi UNHCR gagal.

“Oleh sebab itu, kita mengkaji semula kehadiran UNHCR di negara ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, prestasi UNHCR ketika ini berbeza berbanding peranannya dalam menguruskan penempatan semula pelarian Vietnam pada era 1970-an hingga 1990-an.

Katanya, jumlah penempatan semula yang direkodkan dalam tempoh kebelakangan ini juga bukan melibatkan pelarian Rohingya, sebaliknya etnik lain dari Myanmar.

“Sepatutnya UNHCR memainkan peranan mereka seperti yang mereka buat semasa pelarian Vietnam dahulu, tetapi sekarang tidak ada,” katanya.

Mohamad turut memberi amaran isu pelarian semakin mencabar apabila beberapa negara yang sebelum ini menerima golongan berkenaan, termasuk Australia, Jerman dan Amerika Syarikat (AS), kini mengetatkan dasar kemasukan mereka.

Menurutnya, pelaksanaan dasar antimigran di negara terbabit turut menyukarkan usaha penempatan semula pelarian, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia perlu mengadakan rundingan dan libat urus dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu pelarian yang berlarutan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan Malaysia terus menanggung beban pengurusan pelarian tanpa penyelesaian jangka panjang.

“Ini masalahnya, kita akan terbeban. Kita perlu adakan libat urus bersama kerajaan Myanmar.

“Kalau tidak, mahu buat apa? Mereka lagi suka jika kita tidak bertemu mereka. Mereka lagi suka jika dunia memulaukan mereka, asalkan negara-negara sahabat bersama-sama dan memberikan perlindungan,” katanya.

Berita berkaitan
Isu Adat N9 tiada kaitan dengan PRN Melaka: Mohamad Hasan
October 18, 2026· Politik
Jerebu: Malaysia pilih diplomasi, elak tegang dengan Indonesia
October 15, 2026· Isu semasa
Tangguh umrah, keselamatan jemaah jadi keutamaan: Mohamad Hasan
October 15, 2026· Isu semasa
Mohamad Hasan sahkan rakyat Malaysia di Riyadh selamat
October 14, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
October 26, 2026 · Isu semasa
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
October 26, 2026 · Isu semasa
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
October 26, 2026 · Isu semasa
Tanah LTAT RM420 juta dijual kepada AS melalui tender: Khaled Nordin
October 26, 2026 · Isu semasa
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok