Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan mencadangkan beberapa langkah termasuk penggunaan basikal bagi perjalanan jarak dekat sebagai usaha mengurangkan kesan kenaikan harga minyak susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Beliau berkata, pendekatan tersebut wajar dipertimbangkan dalam pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi membantu rakyat berdepan peningkatan kos bahan api.
“Untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam menangani kenaikan harga petrol dan diesel, cadangan saya ini boleh difikirkan antaranya memberi insentif kepada carpooling iaitu berkongsi kenderaan ke tempat kerja,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu.
Selain menggalakkan rakyat berbasikal, Ahmad turut mencadangkan penggunaan pengangkutan awam diperluaskan berbanding penggunaan kenderaan persendirian.
Pada masa sama, beliau menyarankan supaya pengeluaran dan penggunaan kenderaan elektrik (EV) seperti kereta, motosikal dan bas dipertingkatkan.
Dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, beliau turut mencadangkan agar kajian serta pembinaan kilang biodiesel berasaskan kelapa sawit dipergiatkan bagi memenuhi keperluan domestik.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata kerajaan juga perlu meneliti laluan import dan eksport minyak yang lebih selamat serta tidak melalui kawasan berisiko konflik.
“Langkah ini penting bagi memastikan bekalan minyak negara tidak terjejas sekiranya berlaku ketegangan atau peperangan di kawasan tertentu,” ujarnya.
Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak sejak serangan bersama oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu, sekali gus menjejaskan kestabilan pasaran minyak global.
Situasi itu telah menyebabkan harga minyak meningkat mendadak, memaksa beberapa negara mengambil langkah drastik bagi mengurangkan tekanan akibat kekurangan bekalan bahan api.
Dalam konteks tersebut, Ahmad menegaskan Malaysia perlu terus memperkukuh hubungan dagang dengan pelbagai negara bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Had umur 16 tahun bukan untuk sekat kebebasan bersuara: Fahmi
PMX umum peruntukan pembangunan untuk Kelantan naik RM8 bilion
Cadangan kekalkan kuota BUDI95 kepada pengamal media akan dibincang: Fahmi
Petronas boleh runding dapatkan bekalan minyak dari Rusia: Anwar
Hanya 15 peratus rakyat beli diesel pada harga pasaran: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan