MCMC rekod lebih 377,000 permohonan turunkan kandungan bahaya tahun ini

July 22, 2026 · Isu semasa

Secara purata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan hampir 1,900 permohonan sehari kepada platform media sosial bagi menurunkan kandungan berbahaya sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini, mencerminkan peningkatan ketara ancaman dalam talian di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata dalam tempoh itu sebanyak 377,502 permohonan penurunan kandungan dikemukakan kepada platform media sosial, bersamaan hampir 78 peratus daripada keseluruhan 485,175 permohonan yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah berkenaan sebanyak 350,332 kandungan berbahaya berjaya dipadamkan oleh platform media sosial.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini sahaja, MCMC sudah mengeluarkan 377,502 permohonan penurunan kandungan, bersamaan hampir 78 peratus daripada keseluruhan permohonan sepanjang 2025.

“Ini bermakna secara purata kira-kira 1,900 permohonan penurunan kandungan dikeluarkan setiap hari, manakala platform media sosial telah memadamkan 350,332 kandungan berbahaya dalam tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup International Regulatory Conference (IRC) 2026.

Beliau berkata, sejak 1 Januari 2022 hingga 15 Julai lalu, MCMC telah mengemukakan sebanyak 1,216,088 permohonan kepada platform media sosial untuk menurunkan kandungan berbahaya, dengan 1,138,063 daripadanya berjaya dipadamkan.

Menurutnya, jumlah permohonan itu meningkat hampir 57 peratus daripada 309,322 pada 2024 kepada 485,175 pada 2025, sekali gus menunjukkan cabaran keselamatan dalam talian semakin kompleks.

Mohamad Fauzi berkata, antara rumusan utama IRC 2026 ialah kepercayaan kini menjadi faktor paling penting dalam pembangunan ekosistem digital, meliputi keselamatan dalam talian, kecerdasan buatan (AI), tadbir urus data, teknologi kuantum dan perkhidmatan digital masa depan.

“Masyarakat tidak lagi menilai teknologi hanya berdasarkan tahap kemajuannya. Mereka akan menilainya berdasarkan sama ada ia selamat, boleh dipercayai, adil dan layak mendapat keyakinan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan sepanjang persidangan turut merumuskan keselamatan digital, khususnya melibatkan kanak-kanak, tidak boleh dipikul oleh pengawal selia semata-mata.

Katanya, platform digital, kerajaan, industri, institusi pendidikan, komuniti dan keluarga perlu berkongsi tanggungjawab memastikan keselamatan diterapkan sejak peringkat reka bentuk sesuatu platform, bukannya hanya bertindak selepas berlaku kemudaratan.

“Keselamatan tidak boleh bermula hanya selepas sesuatu insiden berlaku. Ia perlu diterapkan dalam platform, perkhidmatan dan sistem sejak awal lagi. Tanggungjawab ini tidak boleh dipikul oleh pengguna dan keluarga sahaja, sebaliknya perlu dikongsi oleh platform, pengawal selia, sekolah, komuniti dan industri,” katanya.

Beliau berkata, persidangan itu turut menegaskan kemajuan digital perlu terus berteraskan rakyat, dengan kejayaan teknologi diukur berdasarkan keupayaannya meningkatkan kesejahteraan, memperluaskan peluang dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurutnya, usaha merealisasikan matlamat itu memerlukan kerjasama lebih erat antara kerajaan, pengawal selia, industri, institusi akademik dan masyarakat sivil, selain pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat digital.

“Tiada satu institusi atau sektor yang mampu menangani cabaran ini secara bersendirian. Keupayaan kita bergantung kepada kekuatan kerjasama yang dibina,” katanya.

Beliau berkata, sebagai anggota Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Malaysia akan terus menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital yang dipercayai, inklusif dan berdaya tahan di samping memastikan hasil perbincangan IRC 2026 diterjemahkan kepada dasar, amalan industri dan kerjasama serantau.

 

Berita berkaitan
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
11 jam lalu· Isu semasa
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
17 jam lalu· Isu semasa
Teknologi perlu selamat, adil dan dipercayai
July 22, 2026· Isu semasa
MCMC siasat dakwaan kebocoran data Khairul Aming
July 21, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
14 jam lalu · Isu semasa
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
15 jam lalu · Isu semasa
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
July 24, 2026 · Isu semasa
MB Negeri Sembilan: Tiada calon lain selain Tok Min
July 24, 2026 · Isu semasa
Kes tender PDRM: Saksi dedah bekas pegawai Hamzah rasa kecewa berhubung bayaran RM2 juta
July 23, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
8 jam lalu
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS
13 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok