Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyempurnakan pelancaran LESTARI.
Sebanyak 15 juta peranti komunikasi dan elektronik disasar diurus secara lestari menjelang 2030 menerusi LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) yang dilancarkan MCMC hari ini.
Inisiatif itu merangkumi penggunaan semula, baik pulih, naik taraf, penggantian kepada teknologi lebih cekap serta kitar semula peranti secara bertanggungjawab, dengan sasaran turut memberi manfaat kepada lima juta rakyat menerusi pelbagai program impak sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyempurnakan pelancaran LESTARI yang menetapkan hala tuju kelestarian bagi sektor telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier sehingga 2030.
Menerusi inisiatif itu, peranti yang masih boleh digunakan akan dibaik pulih dan digunakan semula bagi memanjangkan hayat peranti, mengurangkan sisa elektronik serta kos pemilikan teknologi.
Pendekatan itu turut memberi tumpuan kepada golongan rentan dan berpendapatan rendah bagi memperluas akses kepada peranti serta teknologi pada kos lebih mampu milik.
“Inisiatif ini menyokong peralihan sektor komunikasi dan multimedia ke arah aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, di samping memperkukuh ekonomi kitaran melalui pengurangan sisa elektronik, pemanjangan hayat peranti dan peningkatan akses kepada teknologi yang lebih mampu milik,” menurut MCMC.
LESTARI dibangunkan menerusi sesi libat urus bersama industri membabitkan 116 peserta daripada 47 organisasi dan berteraskan tiga bidang utama iaitu kelestarian iklim dan alam sekitar, impak sosial dan keterangkuman serta teknologi dan inovasi.
Bidang kelestarian alam sekitar merangkumi kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, penggunaan tenaga boleh baharu, ekonomi kitaran dan daya tahan infrastruktur.
Sementara itu, impak sosial memberi tumpuan kepada keterangkuman, keselamatan, kemahiran dan kesejahteraan rakyat, manakala teknologi dan inovasi meliputi penggunaan teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta inovasi rendah karbon.
Turut diperkenalkan ialah ‘Net Zero & Circularity Alliance (NZCA)’, sebuah platform kerjasama industri bagi mengurangkan pelepasan karbon selain memperluas usaha pengumpulan, penggunaan semula dan kitar semula peranti.
Sebanyak 15 organisasi daripada pelbagai segmen ekosistem digital turut menandatangani ikrar sokongan kepada LESTARI dan NZCA.
Antara organisasi terbabit ialah CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, Media Prima, Astro, Pos Malaysia, Time dotCom dan EDOTCO Group.
MCMC berkata pelaksanaan LESTARI akan dipantau secara berkala berdasarkan sasaran dan petunjuk yang dipersetujui bersama industri bagi memastikan setiap inisiatif mencapai hasil ditetapkan.
Rangka kerja itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13, National Energy Transition Roadmap (NETR) serta komitmen Malaysia mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050.
ASM3 pecah rekod 7 tahun, tatakelola jadi kunci: PMX
Kerajaan mahu lebih ramai rakyat capai simpanan KWSP RM390,000
SPRM tahan bekas pegawai dalam skandal UiTM Holdings: Laporan
Bekas CEO Felda Investment didakwa tipu nilai 24 tanah Felda
Dr Hasmah selamat disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum