Platform media sosial berlesen perlu mengambil langkah untuk melindungi kanak-kanak dan mengurangkan risiko pengguna terdedah kepada kandungan memudaratkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Bagi seorang kanak-kanak, risiko itu boleh bermula ketika menonton video hiburan di telefon. Sistem cadangan platform boleh memaparkan kandungan yang tidak sesuai dengan usianya tanpa disedari ibu bapa.
Pengguna lain pula boleh terdedah kepada penipuan, gangguan atau maklumat palsu melalui pautan mencurigakan, mesej daripada akaun tidak dikenali atau kandungan yang kelihatan meyakinkan.

Akta itu berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kemudian menguatkuasakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) mulai 1 Jun 2026.
Profesor Madya di Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sabariah Mohamed Salleh berkata, kedua-dua kod itu memperjelas tanggungjawab penyedia platform dalam mencegah kemudaratan.
Menurutnya, keselamatan dalam talian ialah tanggungjawab bersama yang turut memerlukan penyedia platform mengenal pasti dan menangani risiko lebih awal.
Keselamatan kanak-kanak bermula dengan reka bentuk platform
Sabariah berkata, prinsip keselamatan melalui reka bentuk perlu diberi keutamaan supaya ciri dan sistem platform mengambil kira keselamatan kanak-kanak sejak awal.
“Ini termasuk tetapan privasi yang lebih ketat secara ‘default’, mekanisme pengesahan umur dan kawalan terhadap sistem cadangan kandungan yang berpotensi mempengaruhi jenis maklumat dan bahan yang diterima pengguna muda,” katanya.

“Kawalan sedemikian penting kerana kanak-kanak bukan sahaja berdepan risiko terdedah kepada kandungan tidak bersesuaian, malah boleh menjadi sasaran manipulasi, eksploitasi dan interaksi berbahaya menerusi platform digital.
“Dalam hal ini, peranan ibu bapa dan penjaga juga perlu diperkukuh melalui penggunaan kemudahan kawalan ibu bapa serta pemantauan terhadap pendedahan kandungan berdasarkan tahap kematangan dan umur anak-anak.
“Namun, perlindungan kanak-kanak tidak seharusnya terhenti pada sekatan akses semata-mata, sebaliknya perlu disertai usaha membina keupayaan mereka menggunakan teknologi secara selamat, bertanggungjawab dan bermakna,” katanya.
Mengulas RMC, Sabariah berkata, pelabelan kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI), termasuk deepfake, membantu pengguna mengenal pasti bahan yang mungkin telah diubah dan menyemaknya sebelum berkongsi.
Beliau berkata, platform juga perlu menyediakan saluran aduan yang mudah digunakan, memberi maklum balas kepada pengguna dan menilai secara berkala cara algoritma serta reka bentuk perkhidmatan boleh meningkatkan risiko seperti penyebaran maklumat palsu.
Keberkesanan akta diukur melalui pengurangan risiko
Dr Mazlan Che Soh dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, penekanan terhadap pencegahan ialah antara kekuatan ONSA dalam menangani buli siber, penipuan dalam talian dan kandungan memudaratkan.
“Keberkesanan ONSA bagaimanapun tidak seharusnya dinilai berdasarkan kewujudan undang-undang atau jumlah tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu diukur berdasarkan sejauh mana risiko dan kemudaratan dalam talian benar-benar dapat dikurangkan.

“Antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah keberkesanan mekanisme pelaporan, tindakan pantas platform terhadap aduan serta tahap perlindungan yang dinikmati pengguna apabila berhadapan ancaman digital,” katanya.
Mazlan turut menekankan keperluan mengimbangi keselamatan dalam talian dengan perlindungan data peribadi dan kebebasan bersuara yang sah. Mekanisme pengesahan umur, misalnya, perlu berkesan sambil menjaga privasi pengguna.
Kedua-dua ahli akademik itu turut menekankan peranan pendidikan, Sabariah berkata, literasi media dan maklumat penting dalam usaha melindungi pengguna daripada ancaman digital.
“Matlamat lebih besar adalah untuk melahirkan masyarakat yang bukan sekadar dilindungi daripada ancaman digital, tetapi turut mempunyai pemikiran kritis, berupaya menilai kesahihan sumber serta membezakan fakta daripada manipulasi dan kepalsuan,” ujarnya.
Mazlan pula berkata, usaha meningkatkan literasi digital memerlukan penglibatan ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat sivil.