Kes rasuah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki terbabit dalam sindiket menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs), sekali gus menjadikan jumlah pegawai imigresen yang ditahan setakat ini meningkat kepada 11 orang.
Kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun, mereka ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada Isnin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah reman.
“Semua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini,” katanya dipetik laporan media.
Menurut SPRM, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang melibatkan kesalahan menerima dan memberi suapan.
Sementara itu, sumber memaklumkan seramai 17 individu sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan Op Crack yang dilancarkan untuk membongkar kegiatan menggodam sistem MyIMMs.
Dalam perkembangan sama, SPRM turut membekukan sembilan akaun bank melibatkan empat akaun milik individu dan dua akaun syarikat dengan jumlah wang dianggarkan kira-kira RM300,000 bagi membantu siasatan.
Minggu lalu, SPRM menahan enam pegawai imigresen dan seorang pegawai polis bersama beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut. Mereka disyaki memanipulasi sistem MyIMMs bagi meluluskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah sebagai balasan kepada habuan.
MyIMMs merupakan sistem utama yang digunakan Jabatan Imigresen untuk menguruskan kemasukan, keluar serta permohonan pas dan permit warga asing.
Sebarang pencerobohan terhadap sistem itu boleh menjejaskan integriti kawalan sempadan negara serta membuka ruang kepada kemasukan warga asing tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Siasatan SPRM kini tertumpu kepada mengenal pasti rangkaian individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan, termasuk kemungkinan wujud pembabitan pihak lain di dalam atau di luar agensi kerajaan.
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum