Fahmi Fadzil berucap semasa Persidangan Alamat Nasional (NAS) 2025.
Fahmi Fadzil mengumumkan hari ini pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang akan dikendalikan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyusun semua alamat seluruh negara supaya lebih teratur.
Menteri Komunikasi membuat pengumuman tersebut semasa Persidangan Alamat Nasional (NAS) 2025 yang berlangsung hari ini yang akan menumpukan kepada dasar strategik dan amalan terbaik global dalam tadbir urus pengalamatan.
“Malaysia mempunyai sekitar 12 juta alamat, namun tiada satu entiti yang mempunyai liputan secara menyeluruh. Kebanyakan agensi penyimpan data alamat mempunyai maklumat yang tidak mengikut piawaian, tidak sahih dan tidak berpusat.
“Keadaan ini membawa kesan nyata dalam urusan harian termasuk penghantaran yang tidak sampai atau tertangguh, kelewatan dalam tindak balas kecemasan, cabaran dalam perancangan utiliti dan infrastruktur, serta halangan kepada pertumbuhan e-dagang dan kurier.
“Semua ini menjejaskan kemajuan kita ke arah menjadi negara yang berdaya saing secara digital,” kata Fahmi ucapan perasmian persidangan hari ini.
Lebih 500 peserta daripada pelbagai sektor termasuk kerajaan, industri, akademik, dan masyarakat sivil hadir bagi membincangkan pelaksanaan menyeluruh Sistem Alamat Nasional (NAS) di Malaysia.
Ujar Fahmi lagi, sistem tersebut akan dibina mengikut piawaian yang ditetapkan Jabatan Standard Malaysia iaitu MS2039 yang akan memastikan keseragaman, ketepatan dan keserasian dalam pelbagai sektor.
“Pelaksanaan NAS akan membawa pelbagai manfaat nyata pada rakyat Malaysia. Sebagai contoh, dalam situasi banjir atau kebakaran, pasukan penyelamat dapat mengenal pasti lokasi mangsa dengan lebih cepat dan tepat,” katanya.
Selain itu, Fahmi juga berkata rakyat akan mendapat manfaat banyak daripada pelaksanaan sistem NAS ini dengan sekurang-kurangnya 2,000 peluang pekerjaan akan tercipta nanti.
“NAS bukan sekadar menyelesaikan cabaran semasa, malah dijangka akan membawa kesan limpahan sosioekonomi yang besar termasuk peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan peningkatan daya saing negara.
“Menerusi dapatan awal Kajian Pelaksanaan NAS, kesan limpahan ekonomi adalah sebanyak RM2 billion dan bakal mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan baharu di pasaran dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Pelaksanaan NAS bukannya tanpa cabaran. Keunikan landskap Malaysia dari kawasan perbandaran hingga ke rumah panjang dan rumah atas air menuntut pendekatan berbeza di setiap lokasi.
Bagi menangani kerencaman ini, MCMC akan melaksanakan Pelan Anjakan NAS bermula dengan projek perintis di lokasi-lokasi strategik. Projek ini akan menguji model pelaksanaan daripada segi tadbir urus, integrasi data dan teknikal sebelum NAS diluaskan secara nasional.
“NAS bukan sekadar projek teknologi. Ia asas kepada transformasi menyeluruh negara dalam perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, serta daya saing ekonomi kita,” kata Fahmi.
Persidangan dua hari ini turut menampilkan pakar dari United Kingdom dan Australia, yang berkongsi pengalaman mereka dalam membangunkan sistem alamat digital yang berjaya di negara masing-masing.
Dengan pelaksanaan NAS, Malaysia sedang merintis jalan ke arah masa depan yang lebih pintar, tersusun dan efisien.
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada lokasi dan data masa nyata, sistem alamat yang seragam dan berpintar bukan lagi satu pilihan ia adalah keperluan.
Kerajaan perangi judi haram secara lebih agresif: PMX
Dewan Rakyat diberitahu lebih 21,000 remaja hamil luar nikah sejak 2019
Pembinaan rumah ibadat perlu mengikut lunas perundangan, titah Agong
Majoriti pengguna RON95 guna bawah 200 liter sebulan: Anwar
Kedudukan CPI Malaysia meningkat, usaha lawan rasuah tunjuk hasil: Anwar
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen