Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab.
Pelantikan pimpinan baharu hakim mahkamah atasan yang diumumkan semalam diterima baik Majlis Peguam dengan harapan kepemimpinan itu dapat mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.
Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab mengucap tahniah kepada barisan hakim mahkamah atasan baharu dan memberi kenyakinan Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap peranan suci badan kehakiman dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
Katanya, ketika menjawat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid menarik diri daripada mendengar satu kes berprofil tinggi berkaitan permohonan kemasukan Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw dalam perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
“Dalam membuat keputusan itu, Wan Ahmad Farid menyatakan beberapa pandangan penting berhubung kepercayaan awam terhadap badan kehakiman antaranya menegaskan bahawa tanggapan awam terhadap kebebasan badan kehakiman tidak seharusnya diragui.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada beliau dalam menerajui badan kehakiman dengan penuh kewibawaan, keberanian, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keadilan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang baharu menggantikan penyandang terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang sudah bersara wajib.
Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengumumkan pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan rundingan bersama Majlis Raja-Raja.
Sementara itu, Majlis Peguam turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Hakim Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dan Hakim Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Menerusi kenyataan yang sama, Majlis Peguam turut menekankan kepentingan mengisi kekosongan jawatan penting yang lain membabitkan badan kehakiman.
“Walaupun pelantikan ini amat dialu-alukan setelah berbulan-bulan ketidaktentuan, penantian, dan spekulasi yang tidak perlu, masih terdapat banyak kekosongan jawatan penting, baik yang sedang berlaku mahupun yang bakal berlaku di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi.
“Majlis Peguam tetap berharap supaya semua kekosongan ini akan diisi dengan segera dan secara telus, demi memperkukuhkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman serta mempertingkatkan pentadbiran keadilan di negara ini,” katanya.
Ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM3.93 hingga RM3.98: Laporan
SUHAKAM bantah guna SOSMA terhadap kanak-kanak
Penipuan pelaburan cecah RM188 juta awal tahun ini: Polis
Konflik Asia Barat dijangka beri tekanan inflasi kepada negara: Akmal Nasrullah
Ekonomi negara masih kukuh hadapi krisis Asia Barat: Zafrul
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan