Penipuan e-dagang melonjak 92 peratus, perlindungan pengguna perlu diperkukuh

August 17, 2026 · Isu semasa

Kes penipuan e-dagang meningkat 92 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan keperluan memperkukuh perlindungan dan keyakinan pengguna dalam urusan perdagangan digital.

Ketua Hal Ehwal Awam dan Hubungan Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Din berkata peningkatan itu berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan menunjukkan penipu terus mengubah serta memperhalus taktik mereka.

Menurutnya, peningkatan kes penipuan bukan sekadar memberi kesan kepada mangsa, malah boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap keseluruhan ekosistem perdagangan digital.

“Kepercayaan tidak boleh dibina menerusi satu inisiatif atau peningkatan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan melalui pelaburan dalam sistem, langkah perlindungan dan kerjasama bagi mewujudkan persekitaran digital yang selamat serta boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata platform digital perlu mengamalkan pendekatan berlapis yang menggabungkan teknologi, tadbir urus, pendidikan pengguna serta kerjasama dengan kerajaan dan pemain industri.

Katanya, Shopee antara platform yang memperkenalkan penyelesaian escrow menerusi Shopee Guarantee, dengan bayaran kepada penjual hanya dilepaskan selepas pembeli berpuas hati dengan pesanan diterima.

“Setiap penjual baharu di platform juga diwajibkan menjalani proses pengesahan Kenali Pelanggan Anda (KYC) bagi meningkatkan akauntabiliti,” katanya.

Nik Emir berkata teknologi kecerdasan buatan (AI) turut digunakan bersama pasukan moderasi dan siasatan bagi mengesan tingkah laku mencurigakan serta mengambil tindakan terhadap akaun atau penyenaraian yang melanggar polisi.

Mekanisme pembayaran selamat, perlindungan pembeli dan proses penyelesaian pertikaian turut disediakan sebagai lapisan perlindungan tambahan dalam urusan jual beli.

Pada masa sama, beliau menegaskan pendidikan pengguna tidak boleh diketepikan kerana teknologi sahaja tidak mencukupi untuk menangani penipuan yang semakin kompleks.

Shopee menyediakan Pusat Bantuan, Hab Pendidikan Penjual, Shopee University, peringatan dalam aplikasi serta kandungan media sosial, selain melaksanakan inisiatif Jom Beli Selamat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nik Emir berkata kerjasama antara kerajaan, penguat kuasa, pemain industri dan platform digital perlu diteruskan bagi memperkukuh peraturan, membanteras jenayah serta menambah baik perlindungan pengguna.

“Kepercayaan bukan sekadar berkaitan usaha mencegah penipuan, sebaliknya dapat meyakinkan masyarakat untuk menyertai ekonomi digital, memberikan kepastian kepada perniagaan untuk melabur dan berinovasi,” katanya.

Berita berkaitan
MCMC mahu platform e-dagang tingkat pengesahan penjual
October 7, 2026· Isu semasa
Kerajaan perketat kawalan platform e-dagang, terima aduan pengguna banyak: Fahmi
August 26, 2026· Isu semasa
Jualan Ihsan Rahmah 9.9 dibuat secara dalam talian: PMX
August 20, 2026· Isu semasa
NADI pacu usahawan tempatan ke arena e-dagang: Laporan
September 21, 2025· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
October 28, 2026 · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
October 28, 2026 · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
October 28, 2026 · Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
3 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
3 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok