Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi.
Krisis politik yang melanda Perlis dijangka terus mencetuskan pergolakan dalaman dalam Perikatan Nasional (PN), namun UMNO menegaskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) tidak akan dihidupkan semula.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi berkata parti itu sudah “serik” dengan pengalaman lalu semasa bekerjasama dengan PAS dalam MN sebelum ini yang akhirnya menyaksikan perpecahan antara kedua-dua parti itu.
Menurut Puad, pengunduran Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar membuka ruang kepada lebih banyak konflik antara rakan komponen PN.
“Mereka rakan dalam PN, kecuali jika PAS dan Bersatu pecah kongsi. Tetapi dijangkakan lebih banyak drama tikam menikam akan berlaku. Cuma ia tidak menyebabkan MN hidup balik. UMNO sudah serik,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Kenyataan itu merujuk kepada cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang sebelum ini mencetuskan perbincangan apabila menyarankan PN dibubarkan dan MN diwujudkan semula susulan kemelut di Perlis serta isu titah adendum membabitkan Najib Razak.
Cadangan tersebut bagaimanapun dibalas Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa perunding sebagai jalan tengah.
Situasi politik Perlis menjadi tegang apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), terdiri daripada tiga PAS dan lima Bersatu, dikatakan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri dan menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis.
Susulan itu, PAS menggugurkan keahlian tiga ADUN serta-merta, sekali gus membawa kepada pengumuman kekosongan luar jangka di tiga kerusi DUN oleh Speaker.
Puadjuga menggesa PAS mengambil sikap terbuka dan menyerahkan kepimpinan kerajaan negeri kepada Bersatu bagi mengelakkan ketidaktentuan berpanjangan.
“PAS patut gentleman. Lepaskan sahaja kepada Bersatu. Jangan biarkan pentadbiran negeri tergantung. Utamakan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin mengingatkan semua pihak agar bertenang dan menguruskan kemelut tersebut secara matang.
“Mandat rakyat pada PRU15 perlu dihormati. Keutamaan adalah memastikan Kerajaan Negeri Perlis terus berfungsi dengan baik,” katanya.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
Dikritik ‘katak’ politik, Zaid sasar kembali bertanding PRU atas tiket PAS
PRN Johor: Anwar gesa pengundi pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya