Isu bendera Jalur Gemilang.
Polis Johor membuka tiga kertas siasatan susulan pemasangan bendera Negeri Johor dan Jalur Gemilang secara terbalik di beberapa premis di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Hoo Chuan Huat berkata, lima individu sudah ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri.
Menurutnya, siasatan sedang dilengkapkan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan lanjut.
“Setakat ini, kita ada tiga kes. Ada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan.
“Bila sudah lengkap, kita akan rujuk kepada AGC (Jabatan Peguam Negara) untuk mendapatkan satu keputusan (pendakwaan),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Bagi kes di Kulai, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 48 tahun.
Dua lelaki berusia 25 dan 43 tahun pula ditahan bagi kes di Johor Bahru Selatan, manakala seorang lelaki berusia 56 tahun ditahan di Iskandar Puteri.
Kesemua mereka dipercayai kakitangan premis yang terbabit dalam kejadian berkenaan.
Hoo Chuan Huat turut mengingatkan pemilik premis dan penyelia supaya tidak menyerahkan urusan pemasangan bendera tanpa pemantauan selepas kerja selesai.
Katanya, terdapat keadaan pekerja warga asing ditugaskan memasang bendera tanpa mengetahui susunan yang betul.
“Sepatutnya sebagai pemilik atau orang bertanggungjawab untuk memasang bendera ini, perlu tunjuk cara pemasangan betul dan selepas pemasangan sekurang-kurangnya penyeliaan dibuat seperti ambil gambar untuk melihat sama ada betul atau tidak betul,” katanya.
Isu berkenaan tercetus selepas sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Indahpura, Kulai diarahkan tutup sementara susulan penularan gambar bendera Johor dan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik.
Seorang pengawal keselamatan warga Nepal dan seorang wanita tempatan kemudian ditahan dan direman empat hari bagi membantu siasatan.
Kes sama turut dilaporkan di Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah, Iskandar Puteri, selepas bendera Johor dan Jalur Gemilang didakwa dipasang secara terbalik.
Premis terbabit turut diarahkan tutup selepas didapati tidak mempunyai lesen perniagaan sah daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
Polis kini melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diputuskan pihak berkuasa.
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum