Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Surat pemakluman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini sebagai langkah rasmi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Speaker DUN Sarawak, Mohamad Asfia Awang Nassar, berkata beliau menerima surat pengisytiharan pembubaran yang ditandatangani Yang Dipertua Negeri Sarawak, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, pembubaran itu selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memberikan kuasa kepada Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN.
“Sehubungan itu, saya telah memaklumkan kepada Pengerusi SPR, Ramlan Harun mengenai perkara itu melalui surat bertarikh hari ini,” katanya pada sidang media di bangunan DUN Sarawak, di sini.
Pada 23 Oktober lalu, Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg, mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kerajaan negeri akan menjalankan tugas sebagai kerajaan sementara sepanjang tempoh berkenaan, mengikut peruntukan perlembagaan dan amalan pentadbiran yang berkuat kuasa.
Pembubaran itu menandakan bermulanya fasa persediaan menuju pilihan raya negeri bagi menentukan mandat baharu kerajaan Sarawak. SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi selepas mengadakan mesyuarat khas berkaitan pilihan raya berkenaan.
DUN Sarawak mempunyai 82 kerusi dan mandat semasanya dijadual berakhir pada Februari 2027.
Pada PRN ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, GPS mencatat kemenangan besar apabila memperoleh 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan. DAP memenangi dua kerusi, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi.
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
NGO desak SPRM, AG jelaskan status siasatan RM1.1 bilion libat Rafizi
Zahid nafi belanja KKDW terlebih RM2.1 bilion
Parlimen: Rayer diminta hantar surat rasmi rujuk Takiyuddin ke jawatankuasa
AMK: Rafizi perlu jawab dakwaan, bukan sekadar saman Ramanan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum