Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar.
Polis Selangor menumpaskan beberapa sindiket penyeludupan dan pengedaran bunga ganja selepas menahan 12 individu serta merampas 418 kilogram dadah bernilai RM33.4 juta dalam operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Sepang.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, operasi yang dijalankan antara 28 Ogos hingga 21 September itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan, empat lelaki dan tujuh wanita warga asing.
Menurutnya, sebanyak 671 bungkusan bunga ganja dirampas dalam operasi berkenaan.
“Keldai dadah ini dijanjikan tawaran kerja serta pakej pelancongan dari negara asal mereka. Apabila tiba di Malaysia, mereka diarahkan membawa pulang bagasi yang bukan milik mereka, dengan dadah disembunyikan di dalam bagasi berkenaan,” katanya pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, hari ini.
Shazeli berkata, seorang suspek warga tempatan dipercayai berperanan sebagai runner yang membekalkan dadah kepada keldai dadah terbabit.
“Kita percaya suspek ini sudah terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan sejak awal 2026. Kesemua suspek yang ditahan pula dipercayai daripada sindiket berasingan,” katanya.
Selain dadah, polis turut menyita aset dan barangan bernilai RM37,700 termasuk dua kenderaan serta sejumlah mata wang asing daripada suspek.
Daripada keseluruhan 12 suspek yang ditahan, enam sudah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala enam lagi masih dalam tempoh siasatan.
Hasil semakan polis mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau di Malaysia.
Bagi suspek warga asing, semakan dokumen perjalanan mendapati mereka memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
Kes berkenaan masih dalam siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit serta sumber dan destinasi sebenar bekalan dadah yang dibawa masuk ke negara ini.
Operasi berkenaan turut memperlihatkan modus operandi sindiket yang menyasarkan individu dari luar negara dengan menawarkan pekerjaan atau pakej pelancongan sebelum menggunakan mereka sebagai pembawa dadah.
Remaja kes tikam sekolah Bandar Utama mahu kematian beramai-ramai, mahkamah diberitahu
Kes 43 barang kemas: Global Royalty boleh tuntut RM67.5 juta daripada Rosmah
Anwar luah terkilan, krisis adat Negeri Sembilan masih berlarutan: Laporan
Dua pengarah Mandiri ditahan bantu siasatan AMLA
Gempa Batu Pahat, gegaran dirasai di enam kawasan sehingga ke Putrajaya
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum