Azalina Othman Said.
Satu langkah bersejarah dalam reformasi undang-undang negara bakal direalisasikan apabila Rang Undang-Undang (RUU) bagi memisahkan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mengesahkan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) akan dibawa pada mesyuarat kedua Parlimen tahun depan.
Usul ini akan membuka laluan kepada pemisahan sepenuhnya peranan penasihat undang-undang kerajaan dan kuasa pendakwaan.
“Selepas RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) berkuat kuasa, ia akan disusuli dengan RUU Saraan dan RUU Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) yang berbentuk omnibus,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjawab soalan Ahli Parlimen Ramkarpal Singh.
Beliau menambah rang undang-undang omnibus itu bertujuan meminda pelbagai undang-undang sedia ada yang berbangkit daripada pemisahan kuasa tersebut.
Menurut Azalina, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk memilih model pemisahan sepenuhnya pada 10 September lalu.
Keputusan ini dicapai selepas kajian empirikal dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas yang membuat lawatan ke Kanada, Australia dan United Kingdom.
“Melalui model ini, peranan AG dan Pendakwa Raya akan dipegang oleh dua individu berbeza dengan kedudukan yang setara,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad mengenai isu sama ada kedua-dua pemegang jawatan itu akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen.
“Tiada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan,” ujarnya.
Beliau menekankan sebarang reformasi yang dilaksanakan bertujuan memperkukuh prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Langkah ini diharap dapat mengukuhkan lagi integriti institusi keadilan Malaysia pada masa hadapan.
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum