Sasar buka Madani Mart setiap DUN seluruh negara: Lutfi

April 22, 2026 · Isu semasa

Inisiatif Madani Mart kini menyasarkan pembukaan satu cawangan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha memperluaskan akses rakyat kepada barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan.

Pengurus Yayasan Madani (Operasi Madani Mart), Lutfi Mohd Ariffin berkata, pelaksanaan sasaran itu dilakukan secara berperingkat dan strategik bagi memastikan kestabilan operasi serta rantaian bekalan.

Menurut beliau, pendekatan Madani Mart berbeza daripada inisiatif terdahulu seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang pernah dihentikan.

“Madani Mart tidak menggunakan model yang sama seperti KR1M. Tidak adil untuk mengaitkan kegagalan lama dengan pendekatan baharu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan setiap cawangan Madani Mart dimiliki dan diusahakan oleh operator individu yang melabur sendiri, tanpa bergantung kepada dana kerajaan atau satu syarikat tunggal.

Walaupun hanya melibatkan dua lot kedai, setiap outlet disokong oleh ekosistem yang dibangunkan Yayasan Madani bagi meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing.

“Yayasan Madani bertindak sebagai pembina ekosistem dan inkubator, membolehkan skala ekonomi dicapai melalui penyelarasan rantaian bekalan serta sistem sokongan berpusat,” katanya.

Sebagai sebahagian pelan pengembangan, enam pusat pengedaran akan diwujudkan di seluruh negara untuk menyokong operasi mengikut zon.

“Setiap pusat ini membantu meningkatkan jumlah pembelian, mengoptimumkan logistik dan memastikan kestabilan harga,” jelasnya.

Pada masa sama, Madani Mart turut bekerjasama dengan kerajaan menerusi program seperti Jualan Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Inisiatif Madani Mart diperkenalkan sebagai sebahagian agenda kerajaan untuk menangani tekanan harga barangan keperluan harian, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Lutfi berkata pengembangan rangkaian itu akan terus dilaksanakan secara terkawal agar manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat di seluruh negara.

Berita berkaitan
Pemimpin MCA keluar majlis pengumuman calon, bantah agihan kerusi di Melaka: Laporan
October 24, 2026· Politik
Zahid: PN hanya dapat tujuh kerusi, tak layan tuntutan lebih-lebih
October 24, 2026· Politik
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
October 23, 2026· Isu semasa
Kemelut Negeri Sembilan: Zahid minta ADUN BN tidak campur urusan diraja
October 19, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Ringgit dibuka tinggi didorong jangkaan normalisasi OPR: Bernama
2 jam lalu · Isu semasa
Johari: Kebergantungan pekerja asing perlu dikurangkan segera
2 jam lalu · Isu semasa
Dana Inovasi Media bantu industri hadapi era AI, lindungi pekerja
2 jam lalu · Isu semasa
Derma palsu guna visual AI, orang ramai diminta berwaspada
2 jam lalu · Isu semasa
Utusan Malaysia, Kosmo! rombak operasi, hampir 100 pekerja bercuti berbayar
3 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
November 1, 2026
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok