Presiden MCA, Wee Ka Siong bersama pemimpin parti di Melaka dilihat meninggalkan majlis pengumuman calon. Kredit foto media sosial.
Pemimpin MCA bertindak keluar daripada majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai membantah keputusan pembahagian kerusi yang didakwa dibuat tanpa persetujuan parti itu.
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata, kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA diserahkan kepada parti lain tanpa rundingan sewajarnya, sekali gus mengetepikan kedudukan MCA sebagai parti komponen BN.
“MCA tidak boleh diperlakukan sesuka hati. Kita sebuah parti politik dan berhak dilayan dengan penuh hormat. Bagaimana keputusan boleh dibuat bagi pihak MCA tanpa persetujuan kami, sedangkan presiden MCA masih ada di sini?” katanya dipetik laporan The Star selepas meninggalkan majlis di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Ka Siong bersama Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon dan pemimpin daripada enam bahagian MCA Melaka terdahulu meninggalkan majlis tersebut.
Ka Siong berkata, MCA pada awalnya dimaklumkan oleh Setiausaha Eksekutif BN sekitar jam 9 malam Jumaat, majlis berkenaan hanya membabitkan pelancaran jentera pilihan raya tanpa pengumuman calon.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, beliau dimaklumkan kemungkinan pengumuman calon akan dibuat sebelum mendapati perkara itu turut dimasukkan dalam atur cara majlis.
Menurutnya, MCA sudah membantah pembahagian kerusi berkenaan dalam mesyuarat dua hari lalu selepas dimaklumkan kerusi yang pernah ditandingi parti itu akan diberikan kepada parti lain.
MCA turut menghantar surat rasmi kepada BN pada Jumaat bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan pembahagian kerusi itu.
Beliau berkata, Biro Politik Pusat MCA yang bermesyuarat pada jam 9 pagi hari ini memutuskan parti itu tetap menghadiri majlis berkenaan sebagai parti komponen BN.
Namun, keputusan untuk mengumumkan calon tanpa penyelesaian terhadap pertikaian kerusi menyebabkan pemimpin MCA mengambil tindakan keluar dewan.
Ka Siong menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sepanjang penglibatannya dalam politik, memandangkan MCA tidak diberikan ruang mencukupi untuk membincangkan pembahagian kerusi sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Kita sekurang-kurangnya perlu diberikan penghormatan. Kita rakan, bukannya musuh. Jika rundingan dibuat dengan baik dan keputusan dicapai bersama, kita bersedia memikul tanggungjawab itu,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan keluar majlis itu bukan bertujuan memboikot BN, sebaliknya sebagai isyarat MCA tidak boleh menerima keputusan yang dibuat tanpa rundingan.
Menurutnya, isu berkenaan hanya membabitkan proses pembahagian kerusi di Melaka dan tidak menjejaskan kerjasama MCA dengan BN di peringkat Persekutuan serta rundingan di Johor dan Negeri Sembilan.
Ka Siong berkata, MCA masih mempunyai masa sebelum hari penamaan calon dan berharap kepimpinan BN dapat menyelesaikan pertikaian itu dalam beberapa hari akan datang.
Ditanya sama ada MCA akan menarik diri daripada PRN Melaka, beliau berkata parti itu belum membuat sebarang keputusan dan akan menilai perkembangan semasa.
MCA kini memiliki dua kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, iaitu Klebang dan Machap Jaya.
Pada PRN Melaka 2021, MCA bertanding di tujuh kerusi iaitu Machap Jaya, Klebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Bemban, namun hanya memenangi Klebang serta Machap Jaya.
Zahid: PN hanya dapat tujuh kerusi, tak layan tuntutan lebih-lebih
Saifuddin bidas pembangkang sesama sendiri pun berpecah
PRN Melaka: Zahid jamin Ab Rauf kekal Ketua Menteri jika BN menang
Agihan kerusi Melaka: Khalid Samad sifatkan PAS jadi ‘macai’ BN
PRN Melaka: PAS nafi akan umum calon sepentas dengan BN
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum