Semua negeri di semenanjung laksana tarif baharu air bermula esok

July 31, 2025 · Isu semasa

Hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan akan melaksanakan kadar tarif air baharu bermula esok (1 Ogos).

Pelaksanaan tarif baharu itu susulan pewartaan struktur baharu tarif air yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang akan menyaksikan sedikit kenaikkan.

Kenaikan ini melibatkan peningkatan kadar purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu, menjadikan kadar baharu RM2.75 berbanding RM2.55 sebelum ini. Pelarasan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan negeri Perak bagi kategori pengguna domestik.

Beberapa negeri turut menyaksikan perubahan dalam caj minimum bulanan.

Di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, caj minimum kekal pada kadar RM6.50 sebulan, manakala Johor mengekalkan kadar RM10.50.

Perlis pula menyaksikan kenaikan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80, manakala di Kelantan ia meningkat daripada RM6.80 kepada RM8.00.

Bagi negeri Terengganu, pengguna domestik dengan penggunaan tinggi akan terkesan dengan kenaikan yang lebih ketara, dengan kadar tambahan masing-masing RM0.86 dan RM1.17 bagi peringkat penggunaan kedua dan ketiga.

SPAN sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan tarif baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha menyelaras struktur tarif air yang lebih mampan, selain membolehkan operator air negeri menampung kos operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air secara lebih berkesan.

Kerajaan turut memberi jaminan bahawa semakan tarif ini mengambil kira kemampuan rakyat, dan langkah-langkah mitigasi akan dilaksanakan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban.

Semakan mendapati 10 negeri termasuk Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Pulau Pinang telah mengemukakan permohonan rasmi kepada SPAN bagi semakan semula tarif air domestik.

Dalam pada itu, negeri Perak memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif air bagi pengguna domestik, sebaliknya hanya menyemak semula kadar bagi sektor bukan domestik termasuk industri perkapalan dan komersial.

Kenaikan kali ini juga dijangka dapat memberi ruang kepada operator negeri mempercepatkan usaha penggantian paip lama, menaik taraf loji rawatan air serta mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Pelarasan ini merupakan yang kedua sejak tahun lalu, apabila kerajaan melaksanakan semakan tarif pertama pada Februari 2024 melibatkan peningkatan purata sebanyak 22 hingga 29 sen bagi setiap meter padu bagi kategori domestik.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini menegaskan bahawa walaupun tarif air berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebarang perubahan perlu mendapat kelulusan Kerajaan Pusat di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Sebilangan pengguna menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan tersebut, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, namun sebahagian yang lain mengakui keperluan semakan tarif bagi menjamin kelestarian bekalan jangka panjang.

Langkah ini turut membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk merancang skim bantuan bersasar kepada isi rumah berpendapatan rendah agar tidak terkesan dengan perubahan struktur tarif baharu yang akan dikuatkuasakan esok.

Berita berkaitan
PRN Negeri Sembilan: Bersatu sasar bentuk kerajaan jika diberi mandat
July 19, 2026· Politik
Amanah bimbang masa depan Kerajaan Perpaduan susulan tindakan UMNO-BN
July 17, 2026· Politik
Kereta BMW digunakan aset lama kerajaan, bukan baharu dibeli: Anwar
July 9, 2026· Politik
PAS sedia bantu BN jika tidak cukup kerusi di Johor tubuh kerajaan: Hadi
July 8, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
MCMC siasat hantaran 3R hina Tuanku Muhriz
2 jam lalu · Isu semasa
Isu eFishery: KWAP masih kukuh, Tengku Zafrul sifatkan dakwaan bankrap sebagai ‘auta’
3 jam lalu · Isu semasa
NADI sasar jadi pusat lahirkan pakar AI luar bandar: MCMC
6 jam lalu · Isu semasa
Kementerian kurangkan latihan di hotel ambil langkah berhemah berbelanja: Fahmi
7 jam lalu · Isu semasa
Perbicaraan Vivy Yusof: Saksi beritahu RM8 juta masuk dipindahkan ke akaun lain
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Aminuddin akui laluan tak mudah, sanggup berlari untuk tawan DUN Linggi, kubu kuat BN
July 18, 2026
[VIDEO] Hari penamaan calon PRN N9 di Linggi, Lukut, Chuah, Sri Tanjung dan Bagan Pinang
July 18, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok