Seorang guru didakwa amang seksual dua murid, miliki bahan lucah

June 9, 2026 · Isu semasa

Seorang guru mengaku tidak bersalah di tiga mahkamah berasingan di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan serta dua pertuduhan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya.

Mohamad Amirul Firdaus Awang Meran, 28, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan dua Hakim Mahkamah Sesyen dan seorang Majistret.

Di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, tertuduh berdepan tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap seorang murid perempuan berusia 11 tahun ketika kejadian yang mana dia mempunyai hubungan amanah dengan mangsa sebagai seorang guru.

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza yang diparkir di kawasan taman permainan di Masai antara pukul 7 malam, 26 Februari 2024 hingga pukul 8 pagi, 18 Ogos 2024.

Sementara itu, di hadapan Hakim Madihah Zainon, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi murid perempuan berusia 12 tahun yang juga mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai guru.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada pukul 8.30 malam, 16 Mei 2025 dan pukul 8 malam, 27 Ogos 2025.

Semua pertuduhan amang seksual itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Atifah Azimah Wahab, Mohamad Amirul Firdaus turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan lucah yang disimpan dalam telefon bimbitnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Seri Wangi 1/1, Taman Perindustrian Plentong, Masai kira-kira pukul 10.30 malam pada 21 Mei lalu.

Bagi pertuduhan tersebut, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin, S. Manushri dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal masing-masing mencadangkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan.

Peguam Nur Zafirah Norizan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan mengambil kira pendapatan anak guamnya sebanyak RM3,000 sebulan selain menanggung ibu bapanya yang menghidap penyakit saraf.

“Tertuduh merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan turut menanggung adiknya yang masih belajar. Tertuduh juga didiagnosis dengan gangguan kemurungan sederhana,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Julai depan.

Berita berkaitan
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
7 jam lalu· Politik
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
12 jam lalu· Isu semasa
Muhyiddin dan PMO tidak campur tangan projek Jana Wibawa, mahkamah diberitahu
August 17, 2026· Politik
Kes dadah Jakarta: Juruterbang bawa dadah ke luar negara sejak 2024
August 17, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
7 jam lalu · Isu semasa
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
7 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
10 jam lalu · Isu semasa
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
10 jam lalu · Isu semasa
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok