Adam Radlan sebelum ini sedang dicari SPRM.
Adam Radlan Adam Muhammad akan segera tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan projek Lebuh Raya Putrajaya-KLIA (MEX II).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut sudah dihubungi pihaknya dan mendapat maklum balas positif untuk bekerjasama berhubung siasatan projek lebuh raya tersebut.
“Sebelum ini, Adam berada di luar negara. Kini kita perlukan bantuannya dan SPRM telah berhubung dengan beliau dalam tempoh terdekat baru-baru ini,” jelas Azam dipetik laporan media selepas menghadiri Program SPRM – UiTM Inspira 2025 hari ini.
Azam memberitahu peguam Adam sudah memaklumkan pihak SPRM untuk memberikan kerjasama sebaik pulang ke tanahair nanti.
“Beliau juga telah memberi maklum balas kepada SPRM dan peguamnya telah menghantar surat kepada kami bagi memberikan jaminan berkaitan perkara itu,” tambahnya.
Difahamkan, Adam yang kini berada di United Kingdom dijangka pulang ke negara ini tidak lama lagi.
Ini bukan kali pertama Adam dilibatkan dalam siasatan SPRM, sebelum ini pernah disiasat di bawah projek Jana Wibawa, namun telah dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram pada awal tahun ini.
Ketika itu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memaklumkan SPRM bersetuju menawarkan kompaun berjumlah RM4.1 juta kepada beliau.
Kini, tumpuan siasatan beralih kepada projek MEX II yang sedang disiasat pihak berkuasa.
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
Nama diguna tanpa izin, tokoh kewangan tuntut RM10 juta
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum