Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai pengurusan tertinggi sebuah perbadanan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan pembayaran kira-kira RM42 juta kepada beberapa syarikat.
Penahanan lelaki berusia 50-an itu dipercayai berkait siasatan SPRM terhadap kerugian yang dialami UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings), termasuk pembayaran perbelanjaan operasi kepada beberapa syarikat.
Sumber berkata, suspek ditahan kira-kira jam 1 tengah hari semalam di kediamannya di sekitar Lembah Klang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2017 dengan membuat pembayaran berkaitan perbelanjaan operasi kepada beberapa syarikat yang dipercayai mempunyai kepentingan di dalam syarikat terbabit,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Suspek dijangka didakwa di mahkamah pada Khamis ini.
Siasatan terhadap UiTM Holdings bukan perkara baharu. Pada 2023, SPRM membuka siasatan berhubung kerugian kira-kira RM157 juta yang dialami syarikat itu bagi tahun 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Ketika itu, SPRM turut meneliti beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dana.
Perkembangan terbaharu ini berlaku ketika isu tadbir urus dan prestasi cabang pelaburan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kembali menjadi perhatian.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan UiTM mengkaji semula aspek tadbir urus serta pengurusan cabang pelaburannya susulan kerugian berjuta-juta ringgit yang dialami.
UiTM Holdings ditubuhkan sebagai cabang pelaburan UiTM dan mempunyai kepentingan dalam beberapa sektor perniagaan. Isu prestasi kewangan serta pengurusan syarikat terbabit kini menjadi antara perkara yang diberi perhatian pihak berkuasa.
Belanjawan 2027: Kementerian Komunikasi kemuka lebih 20 inisiatif
ASM3 pecah rekod 7 tahun, tatakelola jadi kunci: PMX
Kerajaan mahu lebih ramai rakyat capai simpanan KWSP RM390,000
Penghantaran Ubat Melalui Pos: 80,000 pesakit bakal terima manfaat
Dr Hasmah selamat disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum