Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengesahkan surat bertarikh 17 Julai 2026 yang mendakwa Jemaah Menteri meluluskan cadangan Projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bagi kerja-kerja pelebaran Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) adalah dokumen palsu.
PMO dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak pernah mengeluarkan atau menandatangani surat berkenaan.
Menurut PMO, pihaknya turut menafikan sebarang kaitan dengan dokumen serta kelulusan yang didakwa dalam surat tersebut.
“Pejabat Perdana Menteri menafikan sebarang kaitan dengan dokumen serta kelulusan seperti yang didakwa. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya, menyebarkan atau berkongsi dokumen palsu berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Susulan pemalsuan tersebut, PMO memaklumkan laporan polis sudah dibuat berhubung dakwaan pemalsuan dokumen selain penyalahgunaan nama Perdana Menteri dan identiti rasmi Pejabat Perdana Menteri.
PMO turut memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penghasilan atau penyebaran dokumen berkenaan.
“ Tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat,” katanya.
Dokumen berkenaan dipercayai mencetuskan persoalan kerana kandungannya mendakwa terdapat kelulusan kerajaan terhadap cadangan projek pelebaran PLUS menerusi mekanisme PFI.
PFI merupakan kaedah pembiayaan projek pembangunan yang melibatkan kerjasama kerajaan dengan pihak swasta, termasuk bagi projek infrastruktur berskala besar.
Dalam perkembangan berkaitan, PMO menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sebarang surat atau dokumen rasmi yang menggunakan nama Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Orang ramai juga diminta tidak menjadi saluran penyebaran dokumen yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta implikasi undang-undang.
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Projek Kampung Angkat MADANI perkasa kemudahan dua kampung di Kuala Pilah: Fahmi
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum