Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi program Jalan Luar Bandar (JALB) dari 2023 hingga 2025 tidak melebihi peruntukan diluluskan seperti didakwa.
Beliau berkata perbelanjaan sebenar bagi tempoh berkenaan berjumlah RM6.108 bilion, berbanding peruntukan selepas pindaan sebanyak RM6.143 bilion.
Katanya, angka itu menunjukkan kementerian masih mempunyai baki peruntukan kira-kira RM34.3 juta, sekali gus menafikan dakwaan berlaku lebihan perbelanjaan RM2.1 bilion.
“Apabila dibandingkan dengan peruntukan selepas pindaan, perbelanjaan sebenar masih di bawah jumlah yang tersedia, dengan baki kira-kira RM34.3 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Zahid berkata dakwaan lebihan RM2.1 bilion timbul apabila perbelanjaan sebenar dibandingkan dengan peruntukan asal kira-kira RM3.982 bilion tanpa mengambil kira pindaan peruntukan yang dibuat.
Beliau turut menegaskan tuduhan berkaitan ketirisan, rasuah dan penggunaan istilah seperti ‘sakau’ perlu dielakkan sekiranya tidak berasaskan fakta kerana boleh menjejaskan reputasi KKDW serta integriti penjawat awam.
Menurutnya, RM300 juta yang diumumkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bukan peruntukan tambahan atau suntikan dana baharu, sebaliknya kebenaran berbelanja melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB).
Isu berkenaan menjadi perhatian selepas Zahid meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan pembayaran kepada kontraktor projek luar bandar sehingga ada yang terpaksa menghentikan operasi akibat masalah aliran tunai.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican sebelum ini menjelaskan kelewatan pembayaran berlaku apabila sebahagian besar peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar tahun ini telah digunakan.
Perbelanjaan kementerian itu turut menunjukkan peningkatan berbanding peruntukan asal dalam tempoh tiga tahun berkenaan, iaitu RM1.8 bilion pada 2023 berbanding RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Isu lebihan perbelanjaan itu turut mencetuskan gesaan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan, termasuk laporan rasmi dibuat Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin pada 6 Oktober.
Menjawab perkara itu, Zahid berkata tiada projek yang telah diluluskan dibatalkan atas alasan kekurangan peruntukan.
“Sesuatu projek dilaksanakan berdasarkan kelulusan dan peruntukan yang diumumkan. Jika projek tidak tersenarai dalam peruntukan yang diluluskan, ia sememangnya tidak dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa terdapat projek di Sabah dan Sarawak pada tahun ini yang diarahkan dibatalkan oleh ketua setiausaha kementerian walaupun peruntukan tersedia.
Zahid turut bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib supaya Ketua Setiausaha Perbendaharaan, ketua setiausaha kementerian dan KKDW mengeluarkan kenyataan bersama bagi menjelaskan isu itu.
Beliau juga mencadangkan ketiga-tiga pihak mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bagi memberikan penjelasan terperinci serta mengelakkan kekeliruan.
“Jumpa, jelaskan. Perkara ini betul-betul. Kalau tidak, seolah-olah ada semacam perbalahan,” katanya.
PRN Melaka: PKR mahu pembaharuan, beri ruang kepada generasi muda
Parlimen: Rayer diminta hantar surat rasmi rujuk Takiyuddin ke jawatankuasa
AMK: Rafizi perlu jawab dakwaan, bukan sekadar saman Ramanan
Kes Jalur Gemilang: Representasi Akmal ditolak, mahu kemuka permohonan kedua
DUN Sarawak bubar secara rasmi hari ini, SPR tentukan tarikh PRN
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum