Jalaluddin Alias.
UMNO Negeri Sembilan menggesa satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan segera bagi menangani kemelut politik yang semakin meruncing di negeri itu.
Pengerusinya, Jalaluddin Alias berkata penangguhan sidang sehingga enam bulan boleh menimbulkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi menjejaskan kestabilan serta kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan.
“Jika sidang DUN ditangguhkan terlalu lama, kerajaan akan diurus dalam keadaan tidak stabil dan pelbagai masalah boleh timbul,” katanya dipetik laporan media.
Beliau menambah bahawa situasi tersebut boleh membuka ruang kepada krisis baharu sekiranya tidak ditangani segera.
Sehubungan itu, beliau menggesa Yang Dipertua DUN, MK Ibrahim Abd Rahman, mengambil tindakan pantas dengan memanggil sidang khas bagi membincangkan serta memutuskan penyelesaian terhadap krisis yang berlaku.
“Sidang khas ini adalah satu-satunya jalan untuk mengembalikan kestabilan. Kita tiada pilihan lain selain menyegerakannya,” katanya lagi.
Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Tindakan itu dibuat susulan dakwaan kegagalan menyelesaikan isu melibatkan institusi diraja negeri.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila lima ADUN Perikatan Nasional turut menyatakan sokongan terhadap langkah tersebut, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan mengenai kedudukan kerajaan sedia ada.
Untuk rekod, persidangan DUN Negeri Sembilan Ke-15 yang dirasmikan oleh Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sepatutnya bersambung minggu ini, namun ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
PAS buat pusingan-U, Hadi umum Hamzah jadi Ketua Pembangkang bukan Samsuri
Hamzah umum parti baharu, tapi tidak letak jawatan seperti Rafizi
Tei terima pelawaan debat dengan bos J-KOM isu sekatan media sosial
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi