Antara suspek yang ditahan berhubung siasatan kes khianat dan ugutan jenayah yang berlaku di rumah Cikgu Chandra.
Polis menahan 12 individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes khianat dan ugutan jenayah yang berlaku di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor,Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun itu diberkas dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Banting, Subang dan Serdang antara 12 hingga 15 Mac.
Menurutnya, operasi bersepadu tersebut melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.
“Operasi ini dijalankan susulan dua laporan polis yang diterima berkaitan kejadian khianat dan ugutan jenayah di kawasan perumahan di Taman Kinrara pada 9 dan 10 Mac lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Shazeli berkata, siasatan awal mendapati tujuh daripada 12 individu yang ditahan mempunyai kaitan langsung dengan kejadian tersebut dan masih direman bagi membantu siasatan, manakala lima lagi telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau turut memaklumkan semakan mendapati lima daripada tujuh suspek yang masih ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Dalam operasi itu, polis turut merampas tiga kereta dipercayai digunakan semasa kejadian iaitu Toyota Vios berwarna jingga, Honda City putih dan Nissan Almera kelabu.
Selain itu, dua motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha Y16, 14 telefon bimbit, sebuah topi keledar serta beberapa pakaian turut disita bagi membantu siasatan.
Mengulas motif kejadian, Shazeli berkata siasatan awal mendapati insiden tersebut dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dan terguris perasaan.
“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Saya menyeru masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika membuat kenyataan atau komen di media sosial sehingga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati atau mengguris perasaan mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, aktivis masyarakat S. Chandrasegaran, 47, yang dikenali sebagai Cikgu Chandra, mendakwa kediamannya menjadi sasaran gangguan berulang kali.
Dalam kejadian terbaru, beliau mendakwa dua lelaki tidak dikenali memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya dan merosakkan jeriji rumah. B
eberapa jam kemudian, sekumpulan individu dipercayai membaling objek disyaki bom petrol ke arah rumahnya, menyebabkan sebuah kenderaan Suzuki Ertiga terbakar sepenuhnya serta merosakkan dua lagi kenderaan.
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
Anwar berlepas ke Rusia sertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN
Onn Hafiz ubah jadual untuk hadir ke majlis bersama Loke
Pelatih silat mengaku tidak bersalah hina institusi Agong
Bekas pegawai NGO berdepan kes rasuah RM98 juta, 2 jam baca 158 pertuduhan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar