MCMC menyaman Google.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman berjumlah RM300 juta terhadap Google LLC berhubung dakwaan kecuaian syarikat teknologi itu membenarkan kandungan palsu berbaur fitnah oleh penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, terus disebarkan di platform YouTube.
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Oktober lalu menerusi Tetuan Sitham & Associates.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 8 Disember ini secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar, Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Dalam pernyataan tuntutan, MCMC mendakwa pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lalu sebelum mengenal pasti kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri dan boleh diakses menerusi YouTube.
Susulan itu, MCMC mengeluarkan notis kepada Google pada 19 Oktober dengan mendakwa syarikat berkenaan gagal melaksanakan kewajipan statutori di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat pelesenannya.
MCMC turut mendakwa Google gagal mengambil langkah munasabah untuk menilai dan menyiasat kandungan yang dipertikaikan, selain tidak bertindak segera untuk memadamkan atau menyekat akses kepada kandungan serta saluran YouTube terbabit.
Menurut suruhanjaya itu, kegagalan berkenaan menyebabkan kandungan yang didakwa palsu, mengelirukan dan tidak berasas terus disebarkan kepada orang ramai.
“Kandungan berkenaan melibatkan dakwaan terhadap tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta perkara berkepentingan awam,” menurut pernyataan tuntutan itu.
MCMC mendakwa penyebaran kandungan berkenaan menjejaskan persepsi dan kredibiliti pemimpin negara selain menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi awam.
Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan memohon deklarasi mahkamah supaya Google diiktiraf tertakluk kepada kewajipan statutori untuk mematuhi arahan MCMC berkaitan penurunan kandungan yang melanggar undang-undang.
MCMC turut memohon perintah injunksi supaya Google meneruskan sekatan terhadap akaun YouTube berkenaan serta mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam bagi mengesan dan memadamkan kandungan serupa yang memaparkan Wan Muhammad Azri.
Permohonan itu turut merangkumi kandungan yang dimuat naik menerusi akaun pihak ketiga, termasuk siaran langsung di YouTube.
Dalam tuntutan ganti rugi, MCMC memohon RM100 juta bagi setiap kategori iaitu ganti rugi am, teruk dan teladan, menjadikan keseluruhan tuntutan RM300 juta atau jumlah lain yang ditentukan mahkamah.
MCMC turut menuntut faedah, kos prosiding atas dasar indemniti serta apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Saman itu merupakan antara tindakan undang-undang yang memberi tumpuan kepada tanggungjawab penyedia platform digital dalam menangani kandungan dalam talian yang didakwa memudaratkan pengguna dan kepentingan awam.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib